TNB perkenal tarif elektrik lebih murah luar waktu puncak

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 11:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: TNB perkenal tarif elektrik lebih murah luar waktu puncak

KUALA LUMPUR: Pengguna elektrik yang mempunyai meter pintar boleh menikmati penjimatan bil menerusi program Time of Use yang diperkenalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan menggalakkan penggunaan elektrik pada waktu luar puncak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, menerusi program itu, waktu puncak ditetapkan antara pukul 2 petang hingga 10 malam dari Isnin hingga Jumaat, manakala waktu luar puncak bermula pukul 10 malam hingga 2 petang keesokan harinya.

Katanya, pengguna boleh memanfaatkan tempoh luar puncak untuk menjalankan aktiviti yang menggunakan tenaga elektrik tinggi, termasuk mengecas kenderaan elektrik bagi mengurangkan kos penggunaan.

“Pada hujung minggu, semua penggunaan dikira sebagai waktu luar puncak. Jadi, TNB memperkenalkan kaedah ini kerana ramai orang berada di rumah pada hujung minggu. Banyak pendekatan yang kita laksanakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) meminta menteri menyatakan sejauh mana situasi semasa ini selaras dengan jaminan Suruhanjaya Tenaga (ST) pada April 2026 bahawa kira-kira 85 peratus isi rumah dilindungi daripada kesan pelarasan melalui Insentif Cekap Tenaga.

Katanya lagi, kerajaan turut meneliti pendekatan baharu untuk tahun depan bagi memastikan tarif lebih berdasarkan penggunaan.

“Pengguna domestik mempunyai kadar berbeza daripada industri yang menggunakan tenaga dalam jumlah lebih besar. Pendekatannya juga berbeza.

“Jadi, kita berharap kaedah ini akan lebih adil dan sesuai dengan apa yang bakal kita hadapi pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan memperluaskan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, berbanding had 600 kWj sebelum ini.

Katanya, penambahbaikan subsidi itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026. – UTUSAN

The post TNB perkenal tarif elektrik lebih murah luar waktu puncak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved