Tok Batin akan bantu operasi cari Jaslinda

29 May 2026 • 7:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tok Batin akan bantu operasi cari Jaslinda
Saarani bercakap kepada pemberita pada Jumaat.
Image from: Tok Batin akan bantu operasi cari Jaslinda
Saarani (dua dari kiri) ketika meninjau operasi SAR Jaslinda di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, Tapah pada Jumaat.

TAPAH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meminta kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk Tok Batin Orang Asli untuk tampil membantu memperkukuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49.

Beliau berkata, penglibatan komuniti Orang Asli dilihat mampu memberi kelebihan dalam usaha mengesan mangsa memandangkan kepakaran mereka yang arif dengan selok-belok kawasan hutan.

“Saya berpuas hati dengan taklimat yang diberikan, di mana semua pihak terlibat termasuk polis, bomba dan agensi berkaitan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik.

“Difahamkan Tok Batin Orang Asli juga akan turut campur tangan selepas ini bagi membantu usaha pencarian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi SAR di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh di sini pada Jumaat.

**media[3535280]**

Menurut Saarani, operasi SAR yang kini memasuki tempoh hampir seminggu itu akan diteruskan mengikut prosedur ditetapkan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Kita tidak akan berputus asa dalam operasi ini. Sekiranya masih belum berhasil, keputusan seterusnya akan dibuat sebagaimana yang pernah dilakukan dalam kes orang hilang di Gopeng sebelum ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan

Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan

Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu

Beliau menjelaskan, aktiviti pendakian yang disertai mangsa di kawasan Hutan Simpan Kekal itu didapati telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, selain memperoleh kebenaran bertulis, ekspedisi yang disertai mangsa bersama 13 individu lain melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh itu diketuai oleh malim gunung berpengalaman.

“Mangsa juga bukan kali pertama memasuki kawasan tersebut, malah ini kali kedua dan mereka merancang untuk datang lagi pada masa hadapan.

“Sama-samalah kita memohon kepada ALLAH agar mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Saarani turut memaklumkan bahawa keluarga mangsa berada dalam keadaan tabah dan reda menerima apa jua kemungkinan.

Katanya, Pejabat Daerah turut menyediakan bantuan keperluan asas kepada keluarga mangsa termasuk makanan serta kemudahan penginapan sepanjang berada di pusat kawalan operasi.

“Mereka memilih untuk berada di surau ini berbanding menginap di inap desa yang disediakan kerana mahu berada lebih dekat dengan pusat operasi.

“Saya menasihatkan mereka supaya tidak putus berdoa kerana usaha pencarian telah dilakukan secara menyeluruh dan kita berharap dengan izin ALLAH segala halangan akan terbuka,” katanya.