‘Tok diam-diam daftarkan saya sukarelawan orang utan’

29 Sep 2026 • 10:52 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tok diam-diam daftarkan saya sukarelawan orang utan’

PETALING JAYA – Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali pernah mendaftarkan seorang anak Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai sukarelawan berkait orang utan, selepas cucunya memberitahu mahu bermain dengan haiwan itu.

Itu antara kenangan diceritakan Melia Serena Mukhriz yang mana permintaan untuk bermain dengan orang utan itu bukanlah secara serius, malah dia tidak terlalu memikirkannya.

“Salah satu perkara yang Tok dan saya kongsi bersama ialah kecintaan kami terhadap haiwan. Saya ingat pernah beritahu saya nak tengok dan bermain dengan orang utan. Ia cuma komen spontan dan saya sendiri tidak terlalu memikirkannya selepas itu.

“Tetapi rupa-rupanya Tok ambil serius apa yang saya kata. Tanpa saya tahu dan memang begitulah perangai Tok, dia diam-diam daftarkan saya untuk menjadi sukarelawan di Yayasan Pulau Orang Utan di Perak selama seminggu. Itulah Tok saya yang nakal dan penuh kejutan,” katanya pada hantaran Instagram hari ini.

Melia Serena berkata, mereka pernah berkunjung ke Hyde Park, London dan secara diam-diam mereka memberi itik makan, walaupun sebenarnya pengunjung tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Pada 2019, dia bawa kami ke Zoo Negara untuk melihat kelahiran dua anak citah dan seekor anak harimau. Kami diberi peluang menamakan dua anak citah yang akhirnya kami pilih Flash dan Dash.

“Hati saya lega apabila kenangan kecil ini masih hidup melalui Flash dan Dash, yang sehingga kini masih berada di Zoo Negara,” katanya.

Dia turut berkongsi tentang patung berbulu (plushies) milik Allahyarham antaranya rusa, arnab dan satu lagi kesayangannya mempunyai butang tersembunyi serta boleh memainkan ayat suci al-Quran.

“Dia sentiasa ada sesuatu untuk dipeluk dan dimanja. Saya rasa saya juga mewarisi tabiatnya. Sekarang saya sendiri tidak boleh tidur tanpa patung-patung kesayangan di sisi.

“Jadi, saya rasa akan sentiasa mengaitkan kebiasaan kecil itu dengan Tok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Tok diam-diam daftarkan saya sukarelawan orang utan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved