Tol tanpa palang: Pemain industri, syarikat konsesi diberi ruang kemuka sistem terbaik

LocalTechnology
18 Aug 2026 • 1:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tol tanpa palang: Pemain industri, syarikat konsesi diberi ruang kemuka sistem terbaik

KUALA LUMPUR: Pemain industri dan syarikat konsesi diberi ruang mengemukakan cadangan terbaik bagi pelaksanaan sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) untuk dipertimbangkan kerajaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sistem tol tanpa palang atau ANPR itu kini masih dalam proses menerusi kaedah business to business (B2B) dan cadangan yang dikemukakan perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan tidak membebankan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, menerusi kaedah berkenaan, kerajaan tidak campur tangan secara langsung, sebaliknya membolehkan pemain industri, syarikat konsesi dan pihak yang terlibat dalam perniagaan teknologi berbincang sesama sendiri bagi menawarkan sistem yang terbaik.

“Sistem tol tanpa palang itu atau sistem Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) masih dalam proses sebab kita menggunakan kaedah business to business.

“Maksudnya, kerajaan tidak secara langsung campur tangan. Kita biarkan business to business, maksudnya kita biarkan kepada pemain industri, syarikat konsesi, mana-mana yang ada (pihak) dalam perniagaan teknologi yang boleh tawarkan untuk mana sistem yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang akhbar pada Konvensyen Jurutera Kebangsaan (NEC) 2026 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.

Menurut Alexander, sistem yang bakal digunakan atau diluluskan kerajaan perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan tidak membebankan pengguna jalan raya.

“Kita biarkan mereka bersama sendiri berbincang dan akhirnya nanti barulah cadangan itu dikemukakan kepada kerajaan. Kita akan tengok dan lepas itu kita akan ambil keputusan mana (tawaran) yang lebih sesuai.

“Kepentingan rakyat itu amat penting, maknanya dia (sistem) itu tidak akan membebankan rakyat dan pengguna jalan raya,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan sistem pembayaran terbuka tol menggunakan ANPR yang disokong platform digital bersepadu akan dilaksanakan secara berperingkat di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula Oktober 2025 melibatkan laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Pulau Pinang sebagai projek rintis.

Sistem ANPR tersebut merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dalam tempoh dua tahun akan datang bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol.

Bagaimanapun baru-baru ini, kerajaan Pulau Pinang mengarahkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu menghentikan pelaksanaan sistem ANPR dalam mengeluarkan kompaun, berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan semakan semula dibuat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil maklum balas dan pandangan rakyat berhubung pelaksanaan sistem berkenaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). – UTUSAN

The post Tol tanpa palang: Pemain industri, syarikat konsesi diberi ruang kemuka sistem terbaik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved