
PETALING JAYA – “Tolong jangan hanya berdiri dan lihat”.
Itu luahan seorang bapa selepas terpaksa bergelut menenangkan anak lelakinya yang autistik, ketika mengalami ‘meltdown’ (hilang kawalan emosi).
Menerusi perkongsian video di Instagram Adam’s Autism Family, lelaki itu berkata, kejadian berlaku ketika dia menghantar anak perempuannya ke sekolah pagi tadi dan terpaksa membawa anaknya, Adam sebelum anaknya itu mengalami ‘meltdown’.
Lebih mencabar, dia terpaksa menahan Adam seorang diri sambil cuba mengelakkan dirinya daripada mengalami kecederaan.
“Ada seorang lelaki hanya berdiri melihat situasi itu tanpa tampil memberikan bantuan. Fokusnya bukan tentang meltdown anak saya, tetapi untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.
“Tolong jangan hanya berdiri dan melihat. Tolong bantu,” katanya.
Katanya, selepas berjaya membawa Adam masuk semula ke dalam kereta, lelaki berkenaan juga tidak datang bertanyakan keadaannya.
Turut kelihatan, lelaki itu mengalami kecederaan di wajahnya selain bajunya turut terkoyak akibat pergelutan tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut berkongsi mengenai pentingnya masyarakat memahami keadaan kanak-kanak autistik, khususnya ketika mereka mengalami ‘meltdown’.
Situasi berkenaan juga menjadi peringatan supaya orang awam tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil membantu sekiranya keadaan mengizinkan dan bantuan diperlukan.
“Yang ada anak autistik sahaja faham perasaan ini dan faham.. Ramai akan cakap macam-macam, beri cadangan, beri nasihat, kritik, kutuk, keji.. Tapi setiap anak autistik itu sangat berbeza, doakan yang baik-baik sahaja,” kata Hasyim.
“Ayah Adam, mereka yang melihat kejadian itu mungkin juga buntu harus berlaku macam apa. Tapi semoga ke depan makin banyak orang yang tahu dan faham bagaimana teknik membantu menolong anak istimewa seperti Adam. Kuat sihat ya,” kata Evaa.
“Dia tidak tahu.. sangat bersimpati kamu perlu hadapinya sendiri. Saya doakan Adam akan bertambah baik,” kata W1lly. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Tolong bantu, jangan hanya lihat’ appeared first on Kosmo Digital.





