
TRAGEDI helikopter terhempas yang membawa pasukan perubatan Perkhidmatan Doktor Udara terus menyentuh hati.
Isteri kepada Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit, Stephanie Essah dalam hantaran di Threads menyatakan harapan agar suaminya pulang.
"Sayang, tolong balik rumah dengan selamat ya. Anak-anak dah tanya bila daddy nak balik.
"Anak perempuan saya yang berumur lima tahun bertanya kepada saya: “Mommy, daddy akan balik kan, mommy?”
"Tolong pulangkan suami saya. Saya dan anak-anak masih perlukan dia," kongsinya.
Stephanie dalam hantaran lain berharap masih ada peluang untuk suaminya pulang.
"Sayang, nama dan gambar awak ada di mana-mana sahaja. Saya cuba untuk kuat tapi saya tak mampu.
"Namun, saya masih mengharapkan keajaiban. Semoga ada sinar untuk pasukan suami saya," titipnya.

Terdahulu, dalam kejadian itu disahkan berlaku pada jam 3.32 petang Selasa, helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah kesemua lima individu di dalam sebuah helikopter yang terhempas di hujung landasan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) petang tadi masih belum dapat dipastikan.
Beliau berkata, maklumat awal mendapati helikopter milik sebuah syarikat swasta itu disewa bagi perkhidmatan doktor udara membabitkan tiga lokasi, iaitu dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang.
"Laporan mengenai insiden itu diterima pada 3.32 petang tadi. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diusahakan memandangkan kawasan kejadian agak terpencil dan mengambil masa lebih kurang 10 jam perjalanan darat dari Marudi.
"Perkhidmatan udara menggunakan helikopter dari Pangkalan Udara PDRM Kuching pula tidak dapat dilakukan memandangkan cuaca berjerebu dan tidak mendapat kebenaran terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamad Zainal berkata operasi SAR pada masa ini bergantung pada bantuan penduduk kampung, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta polis bantuan di STOLport Long Lellang, sementara pasukan keselamatan dalam perjalanan ke lokasi.






