Toyota Vios Gold Championship Pusingan 3: Perebutan Gelaran Semakin Sengit, Penentuan Juara Ditangguh Ke Pusingan Akhir

SportsCars
29 Jul 2026 • 3:16 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Toyota Vios Gold Championship Pusingan 3: Perebutan Gelaran Semakin Sengit, Penentuan Juara Ditangguh Ke Pusingan Akhir

Perebutan kejuaraan Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Gold Championship Musim 9 kini semakin terbuka selepas aksi dramatik Pusingan 3 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menyaksikan pendahulu kejuaraan gagal memanfaatkan peluang mengukuhkan kedudukan mereka.

Buat pertama kalinya musim ini, perlumbaan berlangsung selama satu jam di litar penuh Sepang sepanjang 5.543km, selain menawarkan mata berganda, sekali gus menjadikan cabaran lebih sukar buat kesemua 37 kereta daripada tiga kategori yang berlumba serentak.

Keadaan itu membuka ruang kepada beberapa pelumba baharu mencuri tumpuan apabila beberapa pencabar utama kejuaraan bergelut untuk mengutip mata maksimum.

Dalam Race 1 kategori Super Sporting, juara bertahan Freddie Ang (Telagamas Toyota) menukar kedudukan petak utama kepada kemenangan selepas menamatkan perlumbaan 5.9 saat di hadapan Timothy Yeo (RH Kalulong Motorsport), manakala bekas juara Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan) melengkapkan podium.

Kategori Sporting pula menyaksikan Elson Lew (Hong Huat X Armada KK Racing) mendominasi perlumbaan dengan kemenangan selesa 10.9 saat di hadapan Taj Izrin Aiman (Saksama Motorsports), sementara Aditya Patnaik (Axle Sports) menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Dalam kategori Rookie, pelumba berusia 16 tahun Ethen Low mencuri perhatian apabila memenangi Race 1 dengan kelebihan 18.7 saat mengatasi Ervin Lim, manakala Imran Iskandar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Aksi Race 2 pada hari Ahad pula lebih dramatik apabila Safety Car terpaksa dikeluarkan sebanyak tiga kali susulan beberapa insiden kemalangan dalam kategori Sporting, menyebabkan perlumbaan akhirnya ditamatkan di belakang Safety Car.

Kategori Super Sporting dimenangi Bradley Benedict (PS Harapan Menang) yang berjaya mempertahankan kedudukan di hadapan walaupun kelebihan yang dibina beberapa kali dipadamkan akibat kemunculan Safety Car. Mitchell Cheah sekali lagi menaiki podium di tempat kedua, diikuti Kenneth Koh (PCM Group Racing Team).

Bradley mengakui situasi Safety Car memberikan cabaran besar namun beliau bernasib baik kerana tidak perlu mempertahankan kedudukan daripada tekanan pelumba di belakang.

Dalam kategori Sporting, Aditya Patnaik berjaya meraih kemenangan pertamanya selepas menewaskan Adam Mikail (G-Mart Motorsport) dengan hanya 0.3 saat, manakala Ariff Azmi (KMS 333 Motorsports) menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Ethen Low pula terus cemerlang apabila melengkapkan kemenangan berganda dalam kategori Rookie selepas menewaskan Megat Damian dan Ervin Lim.

Musim kesembilan Toyota Vios Gold Championship menawarkan keseluruhan hadiah bernilai RM876,000, manakala perebutan gelaran keseluruhan kini akan ditentukan pada Pusingan 4 yang dijadual berlangsung pada Oktober.

The post Toyota Vios Gold Championship Pusingan 3: Perebutan Gelaran Semakin Sengit, Penentuan Juara Ditangguh Ke Pusingan Akhir appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved