TRAGEDI yang meragut dua nyawa akibat tertimbus tanah ketika melakukan aktiviti perlombongan emas di Kampung Jerimbong, Jeli, Kelantan membuka ruang perbincangan mengenai keperluan memperkukuh penguatkuasaan terhadap kegiatan perlombongan haram.
Insiden itu bukan sahaja menyayat hati malah membuka ruang untuk semua pihak menilai semula keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan itu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum ini sering melakukan serbuan di lokasi terbabit dan mengumpamakan kedegilan pelaku seperti perumpamaan 'halau ayam kemudian datang semula'.
Hakikatnya, penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan haram bukan tugas mudah, terutama apabila kebanyakan lokasi berada di kawasan pedalaman dan sukar diakses.
Dalam tragedi terbaru itu sendiri, pasukan bomba dilaporkan menghadapi kesukaran memasuki kawasan kejadian kerana laluan yang sempit dan keadaan lokasi yang mencabar.
Situasi sedemikian secara tidak langsung menunjukkan cabaran besar yang turut dihadapi agensi penguat kuasa dalam menjalankan pemantauan secara berterusan.
Justeru itu, cadangan untuk mengkaji hukuman lebih tegas termasuk hukuman penjara menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu tersebut secara lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, cabaran utama tetap tertumpu kepada aspek pemantauan dan penguatkuasaan di lapangan.
Pemisahan antara aktiviti mendulang secara tradisional dan perlombongan haram berskala besar memerlukan pemantauan yang konsisten serta kerjasama pelbagai agensi.
Tambahan pula, penggunaan pam penyedut air dan peralatan tertentu yang dilaporkan berlaku di lokasi kejadian sudah semestinya memberi kesan kepada struktur tanah dan keadaan sungai jika tidak dikawal dengan baik.
Dalam konteks ini, penguatkuasaan tidak seharusnya dilihat semata-mata dalam bentuk serbuan atau hukuman, tetapi juga sebagai usaha berterusan untuk memastikan keselamatan, pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber asli dapat dilaksanakan secara mampan.
Pemantauan lebih menyeluruh, penggunaan teknologi seperti dron, serta kerjasama komuniti setempat boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti aktiviti tidak sah lebih awal.
Pada masa sama, kesedaran mengenai risiko keselamatan juga perlu dipertingkatkan supaya masyarakat memahami bahaya aktiviti perlombongan tanpa kawalan dan tanpa prosedur keselamatan yang mencukupi.
Tragedi di Kampung Jerimbong itu wajar dijadikan pengajaran bersama bahawa pengurusan sumber alam memerlukan keseimbangan antara peluang ekonomi, keselamatan dan pematuhan undang-undang.






