
KOTA TINGGI: Mayat ketiga daripada empat mangsa yang dilaporkan lemas kelmarin di Pantai Tanjung Lompat, di sini telah berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.15 pagi, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd. Syamsuri Mohamad berkata, mayat tersebut telah disahkan sebagai Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16.
Katanya, mayat tersebut ditemukan terapung kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian empat remaja berkenaan dilaporkan lemas.
“Mayat ditemukan terapung kira-kira pukul 11.15 pagi oleh pasukan penyelamat dan orang awam. Mayat seterusnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, dua mangsa lemas telah ditemukan pasukan SAR, iaitu Alif Taqiuddin Kamal Hasrul yang ditemukan pada pukul 1.25 petang kelmarin, manakala Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor pula ditemukan pada pukul 1.53 petang, semalam.
Difahamkan, operasi akan diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Mohamad Haiman Fitri Supian.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim, Mohd. Najib Sam berkata, operasi SAR hari ini diteruskan dengan kekuatan seramai 61 anggota terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk komuniti setempat.
“Keluasan sektor pencarian juga telah diperluaskan kepada kira-kira 103 batu nautika,” katanya.-UTUSAN
The post Tragedi lemas Pantai Tanjung Lompat: Mayat ketiga ditemukan pukul 11.15 pagi appeared first on Utusan Malaysia.






