
MELAKA – “Dia pernah cakap dekat saya dia tidak boleh berenang tetapi bapanya pula pernah beritahu dia boleh berenang.”
Demikian kata Hakeem Putra Mahadi, 18, selepas rakannya, Muhamad Arif Daniel Nizamuddin, 16, dikhuatiri lemas ketika mereka mandi-manda di pantai berhampiran Prima Klebang, di sini, petang tadi.
Katanya, dia dan mangsa yang telah berkawan sejak tingkatan satu tiba di lokasi berkenaan kira-kira pukul 3 petang untuk meluangkan masa bersama.
“Kami kemudian mandi-manda di kawasan itu sebelum keadaan bertukar cemas apabila dia (Muhamad Arif) tiba-tiba dilihat mengalami kesukaran sebelum hilang daripada pandangan.
“Saya cuba menyelamatkannya, namun tidak berjaya sebelum segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian hanya seorang pemancing berada di kawasan berkenaan selain mereka.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Shahrom Laji berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan sehingga pukul 8 malam tadi.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sedang menjalankan pencarian di dasar dan pesisir pantai. Operasi SAR masih diteruskan dengan bantuan beberapa agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Tragedi Pantai Klebang: ‘Dia kata tak boleh berenang’ appeared first on Kosmo Digital.





