
KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tergamam melihat kaki kiri anak lelakinya digilis tayar pacuan empat roda ketika sedang teruja menyaksikan perarakan sambutan Hari Kebangsaan di hadapan Wisma Persekutuan di sini, semalam.
Puteri Anis Athirah Wan Rosli, 36, berkata, kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu berlaku sekelip mata ketika anak bongsunya, Che Ku Muhammad Khairul Amir Che Ku Mohd Khairul Azlan, 3, berada berhampiran jentera pasukan keselamatan untuk melihat perarakan.
Katanya, dia bersama Che Ku Muhammad Khairul Amir dan seorang lagi anaknya, Che Ku Nur Amirah, 7, pada mulanya berada di kawasan berkenaan bagi menyaksikan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.
“Sebelum kejadian, kedua-dua anak saya mahu bergambar dengan jentera tersebut apabila ia berhenti seketika. Selesai bergambar, anak sulung saya berganjak namun adiknya tidak berganjak kerana teruja melihat jentera tersebut.
“Tidak lama kemudian, seorang anggota cuba menolak anak saya sedikit ke tepi sebelum dia secara tidak sengaja terjatuh tersembam dan tangan kanannya terpusing ke belakang.
“Dalam sekelip mata, tayar pacuan empat roda kemudian menggilis kaki kirinya. Saya yang melihat kejadian itu di depan mata terus panik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Puteri Anis Athirah berkata, orang ramai dan petugas perarakan segera membantu mengangkat anaknya dan meletakkannya di atas kerusi sebelum menghubungi ambulans.
Katanya, anaknya kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Syukur, hasil pemeriksaan ujian imbasan mendapati tiada tulang yang patah, namun doktor mahu menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kecederaan dalaman. Alhamdulillah, anak saya selamat dan kini masih mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital,” katanya.
Katanya, setiap tahun mereka tidak melepaskan peluang menyaksikan perarakan Hari Kemerdekaan dan tidak menyangka berdepan situasi tidak terjangka itu.
“Saya tidak salahkan mana-mana pihak, mungkin kesilapan saya sendiri kerana teruja malah kejadian tersebut di luar jangkaan,” katanya. – UTUSAN
The post Tragedi perarakan merdeka: Kaki kanak-kanak tiga tahun digilis jentera tunda bot appeared first on Utusan Malaysia.






