
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap peserta RXZ Members 8.0 yang didapati menunggang secara berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya mengambil maklum rungutan orang ramai berhubung sikap segelintir peserta program berkenaan yang didakwa mengabaikan keselamatan.
“JPJ menjaga kepentingan awam, bukan kepentingan peserta dan bukan kepentingan penganjur. Jadi kalau ada tindakan-tindakan yang membahayakan orang awam, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Memetik laporan Kosmo, beliau berkata, JPJ akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap program permotoran, selain memanggil pihak penganjur untuk menghadiri sesi libat urus bagi memberi peringatan tegas berkaitan pematuhan undang-undang jalan raya.
Aedy Fadly turut menegaskan, JPJ tidak akan menyokong penganjuran program berkenaan sekiranya isu sama masih berulang pada masa akan datang.
“Selepas ini, sekiranya masih berlaku perkara sama, kita tidak akan menyokong program ini untuk diadakan lagi. Kita mahu memastikan peserta berhemah di jalan raya dan pengguna jalan raya yang lain tidak marah kepada peserta-peserta,” ujarnya.
Baca juga:
PERODUA turunkan harga Axia sehingga RM4,700, kini lebih mampu milik
‘Rakyat tempatan lindungi PATI, jejas tindakan penguatkuasaan’ – Amirudin
Mek Yun mohon maaf selepas keluarkan kenyataan berhubung kes Rocky
Dalam pada itu, beliau menjelaskan setiap penganjuran program perhimpunan motosikal termasuk RXZ Members lazimnya mendapatkan pandangan serta nasihat daripada JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dilaksanakan.
Katanya, JPJ tidak pernah menghalang penganjuran program permotoran selagi ia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
Namun, tindakan tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana peserta yang melanggar undang-undang termasuk melakukan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
The post JPJ beri amaran tidak akan sokong lagi RXZ Members jika isu keselamatan berulang appeared first on The Reporter.




