Transaksi mencurigakan, maklumat disorok dalam pelaburan LTH – RCI

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 9:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Transaksi mencurigakan, maklumat disorok dalam pelaburan LTH – RCI

PETALING JAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan terdapat transaksi yang mencurigakan serta penyembunyian maklumat dalam beberapa pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (LTH).

Laporan RCI menyatakan Suruhanjaya menerima laporan daripada LTH berhubung pelaburan-pelaburannya yang bermasalah sebelum mendapati wujud transaksi meragukan dan penyembunyian maklumat dalam beberapa urus niaga tersebut.

Menurut laporan itu, proses membuat keputusan pelaburan di LTH didapati tidak teratur selain tiada koordinasi yang jelas antara Ketua Pegawai Pelaburan (CIO), Ketua Kewangan Korporat (CF), Ketua Pegawai Hartanah dan Ketua Bahagian Perbendaharaan.

RCI berkata, aliran proses pelaburan juga tidak jelas walaupun terdapat pelbagai lapisan semakan dan pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan pelaburan.

“Perkara ini menyebabkan wujud begitu banyak pelaburan LTH yang bermasalah walaupun proses membuat keputusan sepatutnya mampu menghasilkan keputusan pelaburan yang baik,” ujarnya.

Laporan itu turut mendapati keputusan pada setiap peringkat banyak bergantung kepada nasihat dan cadangan Pengurusan Tertinggi LTH, manakala Panel Pelaburan pula tidak menjalankan tanggungjawab seperti yang diharapkan.

Menurut RCI, Pengerusi Panel Pelaburan ketika itu mengakui pendekatan yang digunakan adalah longgar dan tidak menyeluruh, menyebabkan cadangan pelaburan tidak disemak dengan secukupnya.

Suruhanjaya turut mendapati Menteri yang membuat keputusan berkaitan pelaburan bergantung sepenuhnya kepada memo disediakan Lembaga dan pengurusan LTH tanpa input daripada pihak ketiga.

Sehubungan itu, RCI mencadangkan satu audit forensik dilaksanakan bagi meneliti bagaimana keputusan pelaburan terdahulu dibuat sehingga menyebabkan LTH berdepan penyusutan nilai aset yang teruk.

Antara pelaburan yang disyorkan untuk diaudit secara forensik ialah PT TH Indo Plantations, yang didakwa menyaksikan pemindahan pegangan saham sebelum bayaran penuh diterima, pengurangan harga jualan sebanyak AS$100 juta serta pendahuluan AS$178.6 juta yang akhirnya terpaksa ditanggung LTH.

Selain itu, RCI turut menyenaraikan pelaburan dalam Emrail Sdn. Bhd. yang menyebabkan LTH merekodkan rosot nilai sebanyak RM19.3 juta selepas pembeli gagal melunaskan baki pembayaran saham seperti dipersetujui. – KOSMO! ONLINE

The post Transaksi mencurigakan, maklumat disorok dalam pelaburan LTH – RCI appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved