
KUALA LUMPUR: Proses intervensi melalui Tribunal bagi Antibuli (TAB) diyakini lebih berkesan untuk membendung kesalahan berulang membabitkan keganasan di sekolah berbanding pendekatan menghukum semata-mata.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kewujudan saluran itu merupakan antara bentuk intervensi yang boleh menjadi saluran alternatif kepada pelajar yang berdepan masalah buli atau gangguan.
“Saya sebenarnya tidak melihat hukuman sebagai jawapan. Saya melihat kepada intervensi. Contohnya, apabila kita ada Tribunal Antibuli, itu adalah intervensi.
“Dalam apa-apa kes pun, jika seseorang tidak berpuas hati kerana pihak sekolah tidak mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat, mereka boleh terus pergi kepada tribunal,” katanya semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas beberapa kes kematian yang berlaku di sekolah termasuk melibatkan kes Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, yang ditemukan maut disyaki dibunuh di dalam sebuah sekolah, di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Azalina berkata, pendekatan tribunal bukan untuk menghukum sebaliknya memberi ruang kepada proses pemulihan dan rehabilitasi selain menyediakan saluran yang lebih mudah untuk pelajar mendapatkan bantuan.
“Tribunal ini memendekkan proses dan dalam tribunal yang kita wujudkan, ia tidak menghukum. Ia memberi rehabilitasi.
“Anak-anak muda bawah 18 tahun, pemikiran mereka masih belum matang. Sebab itu hukuman sahaja tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata, mekanisme berkenaan turut penting kerana tidak semua kes buli atau gangguan dilaporkan kepada pihak berkuasa, terutama apabila membabitkan pelajar yang mungkin berasa takut untuk membuat laporan.
Jelasnya, Tribunal Antibuli kini menerima lebih 60 laporan sebulan menunjukkan terdapat keperluan terhadap saluran yang membolehkan mangsa tampil mendapatkan bantuan.
“Kalau anda rasa tidak selesa dan rasa anda diganggu atau dibuli, sama ada oleh kawan, rakan sekelas, guru atau rakan sebaya, anda boleh membuat laporan.
“Buli bukan semestinya secara fizikal. Ia juga boleh berlaku dalam bentuk emosi. Sebab itu intervensi ini penting dan yang sangat penting ialah memberi kesedaran kepada anak-anak bahawa Tribunal Anti Buli itu wujud,” katanya.-UTUSAN
The post Tribunal Anti Buli lebih berkesan bendung kes jenayah di sekolah appeared first on Utusan Malaysia.






