KUALA PILAH - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik supaya menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan jujur, adil dan profesional.
Baginda bertitah, setiap daripada mereka jangan sesekali menyalahgunakan kuasa yang diberikan untuk kepentingan peribadi, keluarga atau pun sahabat handai terutamanya dalam membuat keputusan pemberian tender atau projek kerajaan.
"Seperti yang pernah beta titahkan dahulu, negara amat memerlukan pemimpin yang berpendirian tinggi atau dalam Bahasa Inggeris, 'persons of honour'.
"Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang telah dirangka untuk kebaikan rakyat," titahnya ketika Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Jumaat.
Menurut baginda, rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan negeri, justeru setiap dasar dan perancangan perlu dilaksanakan secara cekap, telus dan berkesan.
Titahnya, kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur menerusi perancangan yang baik, malah keupayaan menyampaikan hasil yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut berpesan supaya kerajaan negeri baharu meneruskan kecemerlangan pentadbiran terdahulu, terutama dalam menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan hasil pendapatan negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan.
"Negeri Sembilan telah mencatatkan rekod pelaburan yang tinggi serta peningkatan hasil negeri yang amat membanggakan. Pencapaian ini hendaklah dipertahankan, diperkukuhkan dan terus dipertingkatkan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan.
"Pada masa yang sama, segala kelemahan yang masih wujud hendaklah dikenal pasti dan ditambah baik secara berterusan bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berada pada tahap yang cemerlang, berintegriti dan berkesan," titahnya.






