
PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan Jabatan Keselamatan Empangan khusus bagi memperkukuh pemantauan serta kesiapsiagaan negara berdepan risiko kegagalan struktur dan kejadian cuaca ekstrem.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jabatan itu perlu mempunyai bidang kuasa, kepakaran, tenaga kerja dan peruntukan kewangan yang mencukupi.
Katanya, tragedi banjir di Nepal baru-baru ini serta beberapa kejadian kegagalan empangan dan infrastruktur air di negara lain perlu menjadi peringatan kepada Malaysia mengenai kepentingan aspek keselamatan empangan.
“Kejadian di Nepal yang berpunca daripada keruntuhan glasier dan aliran puing sehingga mencetuskan banjir besar menunjukkan bahawa perubahan persekitaran dan kejadian ekstrem boleh berlaku secara pantas serta membawa kesan yang sangat dahsyat.
“Malaysia tidak harus menunggu sehingga berlakunya tragedi banjir besar seperti di Nepal. Salah satu aspek yang perlu dipantau adalah keselamatan empangan negara. Ia perlu diperkukuhkan dan diberi perhatian secara dekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, kerajaan ketika ini mempunyai pasukan Flying Squad yang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan keselamatan empangan dengan penglibatan pelbagai agensi teknikal.
Katanya, kerajaan sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh struktur pasukan bersifat ad hoc itu kepada sebuah struktur tetap menerusi penubuhan Pusat Teknikal Empangan (DTC).
Bagaimanapun, beliau berpandangan kerajaan perlu melangkah lebih jauh dengan mempertimbangkan penubuhan jabatan khusus berhubung keselamatan empangan.
“Keselamatan empangan tidak boleh bergantung semata-mata kepada mekanisme ad hoc kerana sebarang kegagalan struktur boleh membawa risiko besar terhadap nyawa, harta benda, alam sekitar dan infrastruktur negara,” katanya.
Menurut beliau, keperluan itu semakin mendesak mengambil kira usia sesetengah empangan di negara ini termasuk Empangan Chenderoh di Perak yang telah beroperasi sejak 1930.
Empangan berkenaan merupakan empangan hidroelektrik tertua yang masih beroperasi di Malaysia.
Katanya, Malaysia mempunyai Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS) sejak 2017 namun aspek pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkukuh secara lebih bersepadu.
“Langkah itu penting khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan peningkatan kejadian cuaca ekstrem.
“Beberapa kejadian terdahulu yang melibatkan kerosakan atau kegagalan struktur berkaitan empangan perlu dianggap sebagai amaran awal.
“Kita tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda sebelum mengambil tindakan. Dalam soal keselamatan rakyat, pencegahan dan kesiapsiagaan mestilah menjadi keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, status keselamatan empangan perlu dimaklumkan kepada rakyat secara berkala berdasarkan penilaian pihak berkuasa dan pakar yang berautoriti.
“Ketelusan maklumat penting bagi membina keyakinan masyarakat selain mengelakkan penyebaran atau manipulasi maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan dan kepanikan,” katanya. –UTUSAN
The post Tubuhkan jabatan khusus pantau keselamatan empangan negara appeared first on Utusan Malaysia.






