TELUK INTAN - Polis berjaya merungkai jenayah samun didalangi dua kumpulan termasuk yang menyebabkan kematian seorang warga emas di Pekan Baru di sini dengan tertangkapnya tujuh lelaki, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan di sekitar Teluk Intan dan Bentong, Pahang hasil maklumat dan risikan.
Menurutnya, empat daripada suspek dikenal pasti terlibat dalam kes samun yang membawa maut, manakala tiga lagi terbabit dalam satu kes pecah rumah dan enam kes kecurian kabel sekitar Teluk Intan pada Februari dan Mac lalu.
**media[3512130]**
"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan pelbagai jenayah kekerasan, harta benda serta penyalahgunaan dadah.
"Ujian saringan air kencing turut mendapati lima daripada mereka positif methamphetamine," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Rabu.
**media[3512129]**
Beliau berkata, tangkapan tersebut membawa kepada rampasan beberapa barangan kes termasuk tiga kenderaan, sebuah motosikal, dua bilah parang, sebilah pisau pemotong, sarung tangan dan pelitup muka.
Kataya, polis turut berjaya merampas barangan kemas bernilai RM8,000 dipercayai milik mangsa samun dan dua guni kabel yang telah dibakar dengan anggaran kerugian RM200,000.
"Polis telah pun mendapat arahan untuk mendakwa empat suspek yang terlibat dalam kes samun dan bunuh di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
**media[3512132]**
Tambah beliau, kes turut diklasifikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kes pecah rumah dan Seksyen 379 kanun sama atas kesalahan curi kabel.
"Polis sedang mengesan seorang lagi anggota kumpulan tersebut dikenali Sri Shaileswara yang masih bebas bagi membantu siasatan," katanya.
Dalam kejadian 17 April lalu, seorang warga emas berusia 69 tahun maut akibat dilibas dengan parang selepas kediamannya diceroboh sekumpulan suspek yang mengugut untuk mendapatkan barang kemas dan wang tunai.






