Tujuh individu didakwa seleweng 9,000 kg minyak masak peket

28 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tujuh individu didakwa seleweng 9,000 kg minyak masak peket

MELAKA – Seorang lelaki tempatan dan enam warga Myamar didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan memiliki lebih 9,000 kilogram minyak masak bersubsidi tanpa lesen sah, minggu lalu.

Bagaimanapun hanya tertuduh lelaki tempatan, Chia Pei Jie, 39, yang membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Enam tertuduh yang lain, Kyaw Lin Tun, Zaw Zaw Aung, La Yata Wai, Tun Win, Than Than Soe dan Soe Pyae Sone bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan ekoran tidak memahami Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama ada dalam kawalan, minyak masak sebanyak 9,002 kilogram (kg) dalam keadaan menimbulkan syak melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara runcit atau borong tanpa lesen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 11 pagi di Plot 7, Jalan PBR 33, Kawasan Perindustrian Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 22 September lalu.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh didenda maksimum RM1 juta bagi individu atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Muhammad ‘Aqib Hasan Azhari dan Muhammad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri mencadangkan jaminan RM30,000 bagi Pei Jie dengan seorang penjamin.

Peguam, Farah Sofea Rudin Shah bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dan memberitahu tertuduh akan dijamin oleh majikannya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 16 Oktober depan bagi serahan dokumen dan kehadiran jurubahasa Myanmar.

Kosmo! hari ini melaporkan taktik licik sindiket memproses kira-kira 8,000 kilogram minyak masak peket bersubsidi sebelum dijadikan minyak terpakai terbongkar selepas sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai diserbu penguat kuasa, minggu lalu.

Seramai tujuh individu turut ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan minyak tersebut sebelum bekalan dijual semula sekitar RM3 hingga RM5 sekilogram. – KOSMO! ONLINE

The post Tujuh individu didakwa seleweng 9,000 kg minyak masak peket appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved