Tujuh sekawan hilang selepas keluar memancing ikan cencaru

15 Sep 2026 • 8:16 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tujuh sekawan hilang selepas keluar memancing ikan cencaru

SHAH ALAM: Tujuh sekawan dilaporkan hilang selepas keluar memancing dengan menaiki sebuah bot dari Jeti Sementa, Kapar, Klang, kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.

Mereka ialah Muhd. Hamiszar Punirain, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; Muhammad Rizuan Ruhaizat, 37; Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; M. Shahril; seorang lelaki dikenali sebagai Tok Penghulu dan tekong, Zulfikalnain Awang, 47.

Sehingga 8 malam semalam, semua mangsa masih belum ditemukan.

Rakan mereka, Ahmad Farehan Dahalan, 42, berkata kehilangan kumpulan itu disedari selepas isteri Muhd. Hamiszar memaklumkan suaminya belum pulang sehingga pukul 11 malam dan telefon bimbitnya gagal dihubungi.

Katanya, kesemua mereka bergerak dari Jalan Kebun kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum menuju ke Jeti Sementa untuk menaiki bot yang dijadualkan bertolak pukul 8 pagi ke lokasi memancing ikan cencaru.

“Asalnya kami rancang memancing ikan cencaru tetapi saya tidak ikut kerana bekerja. Mereka kemudian memaklumkan kepada tekong kerana dia tahu kawasan yang banyak ikan cencaru.

“Tiada sebarang keraguan ketika itu kerana kami biasa berurusan dengan tekong sama. Ini juga bukan kali pertama, malah sekitar April atau Mei lalu dan tahun lalu kami pernah keluar menaiki bot serta tekong sama,” katanya.

Selepas menerima makluman berkenaan, dia terus ke Jeti Sementa bagi memeriksa keadaan.

“Saya sampai di jeti ketika air surut dan sangka mereka pulang apabila air pasang. Namun sehingga awal pagi mereka tidak pulang dan gagal dihubungi.

“Saya buat laporan polis kira-kira pukul 2 pagi dan turut memaklumkan perkara itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor,” katanya.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan itu pada pukul 3.35 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan membabitkan bot Penggalang 1 serta pesawat udara CL415MP (Bombardier).

“Sektor pencarian di laut meliputi kawasan seluas 118.4 batu nautika persegi, manakala pencarian udara meliputi 509.6 batu nautika persegi di sekitar perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam,” katanya. – UTUSAN

The post Tujuh sekawan hilang selepas keluar memancing ikan cencaru appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved