Tular aksi dipercayai lumba kereta di Putrajaya cetus kebimbangan

LocalCars
10 Sep 2026 • 10:01 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tular aksi dipercayai lumba kereta di Putrajaya cetus kebimbangan
Tangkap layar daripada rakaman video yang tular di media sosial.

PUTRAJAYA – Sebuah video memaparkan beberapa kenderaan dipercayai terlibat dalam aksi perlumbaan atau menguji kelajuan di sebuah jalan utama di Putrajaya pada waktu malam tular di media sosial.

Rakaman yang dikongsikan menerusi platform Threads itu mengundang kebimbangan warga maya terhadap keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Rata-rata pengguna menyifatkan aksi tersebut sebagai berbahaya kerana bukan sahaja boleh mengancam keselamatan individu yang terlibat, malah pengguna jalan raya lain.

Individu yang memuat naik video berkenaan turut mempersoalkan sehingga bila kegiatan sedemikian akan berterusan di Putrajaya, selain menandai akaun Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Perbadanan Putrajaya.

Menjawab hantaran tersebut, Radzi berkata beliau akan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung perkara berkenaan.

“Saya akan hubungi pihak IPD Putrajaya berkaitan perkara ini.

“Saya juga telah menghantar pesanan mesej untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai video tersebut,” katanya menerusi ruangan balas hantaran berkenaan.

Sebelum ini, aktiviti dipercayai melibatkan lumba haram, menguji kelajuan dan gangguan bunyi bising kenderaan turut mendapat perhatian pihak berkuasa susulan aduan penduduk di beberapa kawasan sekitar Putrajaya.

Sabtu lalu, IPD Putrajaya telah menggerakkan operasi membanteras samseng jalanan di sekitar Putrajaya selepas menerima beberapa aduan gangguan bunyi bising.

Dalam operasi berkenaan, sekumpulan mereka melarikan diri dengan meninggalkan motosikal di bawah jejambat selepas menyedari polis melaksanakan penutupan jalan di Lebuh Sentosa di sini.

Hasil operasi sebanyak 14 kenderaan terdiri daripada 13 motosikal dan sebuah kereta telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved