
PETALING JAYA – Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam aksi menguji kelajuan di Jambatan Putra di sini seperti video tular di laman Threads semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 25 saat memaparkan rakaman aksi dua buah kereta memandu dengan laju di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, penelitian awal mendapati perbuatan tersebut berpotensi membahayakan diri pelaku serta pengguna jalan raya lain.
“Sehubungan itu, pihak polis sedang menjalankan usaha bagi mengesan dan mengenal pasti individu serta kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti menguji kelajuan atau berlumba di jalan awam yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. – KOSMO! ONLINE
The post Polis buru individu ‘uji kelajuan’ di Jambatan Putra appeared first on Kosmo Online.






