

Polis Ipoh sedang mengesan pemilik kereta Toyota Alphard selepas sebuah video tular memaparkan beberapa kanak-kanak mengeluarkan badan melalui sunroof kenderaan bergerak di Lebuh Raya Meru-Jelapang sekitar jam 6.45 petang semalam.
Video berdurasi 21 saat yang dimuat naik di Facebook menunjukkan tindakan berbahaya kanak-kanak perempuan memanjat keluar dari bumbung kenderaan yang sedang bergerak.
Tindakan itu mendapat kritikan hebat daripada pengguna media sosial kerana membahayakan nyawa kanak-kanak serta pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah mengesahkan pihak polis sudah mengambil maklum mengenai klip video berkenaan.
Usaha mengesan pemilik kenderaan kini giat dijalankan bagi mengambil keterangan dan membantu proses siasatan.
Awam Diminta Salur MaklumatPihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Saksi boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Ipoh di talian 05-2451500 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.






