![Image from: [VIDEO] Tun Siti Hasmah nyanyi lagu Enjit-Enjit Semut tenangkan pesakit](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-01-at-12.55.00-PM-1024x630.jpeg)
PETALING JAYA – Kenangan Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali menyanyikan lagu kanak-kanak, Enjit-Enjit Semut bagi menenangkan seorang warga emas yang takut menerima suntikan vaksin antara detik istimewa yang masih dikenang sehingga kini.
Kisah tersebut dikongsikan seorang pengguna Threads @hadi4bdul yang mendakwa berpeluang menyaksikan sendiri momen berkenaan ketika ditugaskan ke Pulau Tuba, Langkawi sekitar pertengahan 2021.
Menurutnya, ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan Ahli Parlimen Langkawi dan terdapat satu program pemberian vaksin Covid-19 di pulau berkenaan.
“Antara pengalaman tak boleh lupa dengan Allahyarhamah Tun Hasmah.
“Time (masa) ini aku ditugaskan untuk ke Pulau Tuba, Langkawi sekitar pertengahan tahun 2021. Time tu (ketika itu) Tun M adalah MP Langkawi. Ada program vaksin kat sana,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Bercerita lanjut, @hadi4bdul berkata, seorang penerima vaksin dikenali sebagai Tok Pora yang ketika itu berusia 105 tahun dikatakan berasa bimbang untuk menerima suntikan berkenaan.
Melihat keadaan itu, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah dikatakan masuk ke bilik berkenaan sebelum menyanyikan lagu Enjit-Enjit Semut bagi menceriakan suasana dan menghilangkan rasa takut warga emas tersebut.
“Ada satu pesakit nama (Allahyarhamah) Tok Pora, umur 105 tahun. Tok Pora risau nak cucuk vaksin.
“Lepastu Tun Hasmah terus masuk bilik tu nyanyi lagu Enjit-Enjit Semut nak bagi Tok Pora rasa tak takut sangat,” katanya.
Menurut pengguna Threads itu, peristiwa berkenaan menjadi antara kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang dia menjalankan tugasan di Pulau Tuba.
Dia turut menyifatkan isteri kepada bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang insan yang begitu baik dan penyayang ketika berhadapan dengan pesakit.
“Such a lovely person (seorang yang sangat penyayang). Al-Fatihah Tun Hasmah,” katanya.
Perkongsian tersebut turut mengundang perhatian netizen yang tersentuh dengan kisah spontan Allahyarham kerana memilih pendekatan lembut dan bersahaja ketika berdepan dengan ragam pesakit warga emas.
Momen berkenaan juga memperlihatkan sisi peribadi Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah yang bukan sahaja dikenali sebagai tokoh perubatan, malah seorang insan yang dekat dengan masyarakat.
“Walaupun pada umur 90-an, masih lagi sifat seorang doktor itu menyerlah, ambil berat tentang orang, sambung nangis sat,” kata @msyamim1.
“Tak boleh bayang setinggi syurga apa untuk Tun. Bakti Tun sebagai isteri, ibu, doktor tak ada habisnya walaupun dah umur macan ini,” kongsi Rinadamayanti_s.
“Sebab Tun Dr. Siti Hasmah memang pernah mengurus pesakit wanita dan kanak-kanak. Jadi dia pakar dalam bantu pesakit memujuk pesakit dan beri rawatan. Memang hebat perjalanan Tun Dr. Siti Hasmah sebagai wanita pertama yg melanjutkan pelajaran dalam ijazah perubatan,” kata @atiqah_nur011.
Terdahulu, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada Isnin lalu di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada usia 100 tahun.
Allahyarham diberikan penghormatan pengebumian bertaraf Pembesar Negara sebagai mengenang jasa serta sumbangan besar beliau kepada negara selama lebih separuh abad. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Tun Siti Hasmah nyanyi lagu Enjit-Enjit Semut tenangkan pesakit appeared first on Kosmo Online.






