
PUTRAJAYA: Pasukan Johor Military Force (JMF) atau Askar Timbalan Setia Negeri Johor mencipta sejarah tersendiri apabila membuat penampilan sulung pada perbarisan sempena Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Kontinjen JMF diketuai Leftenan Mohammad Nor Helmi Mohamed Amin dengan kekuatan 62 anggota dilihat penuh disiplin dan bergaya ketika membuat tabik hormat semasa melintasi khemah kenamaan tadi.
Celoreng uniform bercorak ‘brushstroke’ yang sinonim dengan JMF turut mencuri perhatian pengunjung, sekali gus menyerlahkan kelainan pasukan itu berbanding kontinjen lain pada perbarisan berkenaan.
Perbarisan turut diserikan dengan persembahan Pancaragam JMF yang dibarisi 31 anggota, diketuai pengarahnya, Kapten Rahizat Mohd. Yassin dan dibantu Ketua Drum, Staf Sarjan Mohd. Alias Selamat.
Penyertaan JMF dalam sambutan itu menyerlahkan peranan pasukan berkenaan dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan Institusi Diraja Johor.
Aset operasi yang digunakan JMF bagi melaksanakan rondaan keselamatan di kawasan operasi turut dipamerkan dalam perbarisan tersebut.
Untuk maklumat, JMF ditubuhkan pada penghujung 1885 ketika pemerintahan Sultan Abu Bakar Daing Ibrahim, susulan Perjanjian Persahabatan antara Johor dan Britain yang ditandatangani pada 11 Disember tahun sama.
Pada peringkat awal, pasukan itu ditubuhkan bagi memperkukuh pasukan polis dalam menjaga keselamatan dan diletakkan di bawah pimpinan Pesuruhjaya Polis ketika itu.
Seramai 60 pemuda Melayu dari istana menjadi anggota pertama pasukan berkenaan.
JMF kemudian berkembang menjadi unit infantri, manakala 20 anggota Kabuli dibawa masuk sebagai pengawal istana, dengan sebahagiannya menerima latihan artileri. – UTUSAN
The post JMF buat penampilan sulung di sambutan Hari Kebangsaan 2026, tampil keunikan corak seragam ‘brushstroke’ appeared first on Utusan Malaysia.






