Tun M Muncul Di Dataran Putrajaya, Berbual, Lambai Pengunjung

LocalPolitics
31 Aug 2026 • 2:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tun M Muncul Di Dataran Putrajaya, Berbual, Lambai Pengunjung

PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad mencuri perhatian apabila membuat kemunculan awam di Dataran Putrajaya hari ini, menyertai ribuan rakyat Malaysia yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

Bekas Perdana Menteri berusia 101 tahun itu dilihat hadir menggunakan kerusi roda elektrik sambil melambai kepada orang ramai yang memenuhi lokasi sambutan.

Menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya, @chedetofficial, Dr Mahathir turut dilihat menyapa orang awam dan berbual dengan beberapa individu yang berada di situ.

Beliau juga dikelilingi anggota pasukan keselamatan, manakala beberapa individu mengambil kesempatan untuk bersalaman dan bergambar bersamanya.

Dr Mahathir kemudian memuat naik mesej ringkas di Facebook sempena Hari Kebangsaan, disertai video yang memaparkan beberapa sorotan sepanjang dua tempoh beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri.

“Selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan yang ke-69, Malaysia,” katanya.

Kemunculan hari ini bukanlah kali pertama Dr Mahathir menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya. Namun, ia merupakan kali pertama beliau menghadiri acara berkenaan dengan menggunakan kerusi roda.

Tahun lalu, Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau tidak menerima jemputan rasmi untuk menghadiri sambutan Hari Kebangsaan, namun tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang perlu dipersoalkan.

Beliau ketika itu berkata, sebagai seorang rakyat Malaysia, tiada alasan untuk beliau dihalang daripada menghadiri acara nasional berkenaan.

Dr Mahathir menyandang portfolio  Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 sebelum kembali memegang jawatan itu pada 2018 selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau meletakkan jawatan pada Februari 2020.

Kemunculan beliau di Putrajaya hari ini berlaku beberapa bulan selepas Dr Mahathir menjalani rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN) susulan kecederaan patah pinggul.

Beliau dimasukkan ke IJN pada 6 Januari selepas terjatuh ketika melakukan senaman di kediamannya di The Mines.

Pada Julai tahun lalu, Dr Mahathir turut dikejarkan ke IJN selepas mengalami keletihan ketika menghadiri acara berkelah dan jamuan potluck yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-100 serta ulang tahun ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. - Getaran, 31 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved