11 kenderaan bertembung di LPT1, empat maut termasuk tiga sekeluarga

LocalCars
1 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

11 kenderaan bertembung di LPT1, empat maut termasuk tiga sekeluarga

SHAH ALAM, 1 SEPT: Empat maut termasuk tiga sekeluarga, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh, malam tadi.

Nahas kira-kira jam 10 malam itu membabitkan empat kereta, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), pikap, lori tangki dan bas ekspres, lapor Berita Harian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata tiga mangsa yang menaiki sebuah SUV, terdiri daripada pemandu dan dua penumpang, disahkan meninggal dunia.

Seorang lagi lelaki yang menaiki SUV berasingan turut maut.

“Semua mangsa yang maut tersepit dalam kenderaan dan anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mereka.

“Dua lagi mangsa iaitu pemandu lori tangki dan seorang lelaki yang menaiki SUV mengalami kecederaan parah, manakala kesemua 30 penumpang bas ekspres terselamat,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan ketika kejadian.

Punca kemalangan masih dalam siasatan polis.

Mohd Salahuddin berkata semua mayat dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah untuk bedah siasat, manakala identiti mangsa belum diperoleh.

Mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved