hamden26/08/2026 - 09:55 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Ogos - Prospek Petronas Dagangan Berhad (PDB) semakin memberangsangkan disokong daya tahan operasi serta pelbagai pemacu pertumbuhan jangka panjang merentasi semua segmennya, menurut penganalisis pasaran.
Keyakinan itu juga mendorong MBSB Research menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan bagi FY26 hingga FY28, masing-masing dinaikkan sebanyak 6%, 2% dan 1%, manakala harga sasaran turut disemak kepada RM23.79 sesaham daripada RM22.46 sebelum ini.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'BELI' terhadap PDB, dengan prospek pertumbuhan jangka panjangnya terus disokong oleh kekuatan operasi merentasi segmen Runcit, Komersial dan Kemudahan, selain perkembangan ekosistem digital melalui aplikasi Setel dan SmartPay.
PDB mencatatkan prestasi 6MFY26 yang sedikit mengatasi jangkaan apabila pendapatannya mencapai 57% daripada unjuran firma penyelidikan itu dan 56% daripada anggaran konsensus.
Bagi tempoh tersebut, pendapatan teras kumpulan meningkat 21% tahun ke tahun kepada RM664 juta, manakala hasil melonjak 50% kepada RM27 bilion.
Pertumbuhan hasil itu didorong oleh peningkatan harga jualan purata (ASP) sebanyak 44% serta pertumbuhan jumlah jualan sebanyak 4%.
Permintaan Stabil
MBSB Research berkata, dari segi prospek permintaan, PDB menjangkakan penggunaan bahan api dalam segmen Runcit kekal stabil dan terus disokong oleh subsidi kerajaan.
Bagi diesel, reformasi subsidi dijangka menyebabkan perubahan dalam corak permintaan antara Malaysia Timur dan pasaran lain, namun jumlah permintaan nasional secara keseluruhan dijangka kembali seimbang antara segmen Runcit dan Komersial.
Permintaan bahan api Jet A1 pula dijangka pulih sepenuhnya kepada paras puncak sebelum pandemik dalam beberapa suku tahun akan datang, disokong oleh peningkatan kekerapan penerbangan dan perkembangan industri pelancongan serantau.
Pada masa sama, ekosistem digital PDB terus menunjukkan kematangan apabila pengguna aplikasi Setel kini membentuk kumpulan pelanggan aktif yang lebih konsisten.
Sementara itu RHB Research berkata pengurusan PDB menjangkakan permintaan petrol, diesel dan bahan api jet berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 3% hingga 5% bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Permintaan bahan api jet turut menunjukkan tanda-tanda pemulihan, meskipun pemulihan penuh dijangka mengambil masa beberapa suku tahun.
"Kami kekal positif terhadap daya tahan pendapatan jangka sederhana PDB, disokong portfolio pendapatan yang pelbagai, kekuatan rantaian bekalan serta pertumbuhan ekosistem Setel," katanya.
Walaupun prestasi 1H26 mengatasi jangkaan, RHB Research mengekalkan unjuran pendapatan dan TP berasaskan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) pada MYR22.37, termasuk diskaun ESG sebanyak 4% berdasarkan skor ESG 2.8.
Firma itu menyifatkan prestasi kukuh segmen komersial sebahagian besarnya didorong keuntungan lag harga yang bersifat sementara dan bergantung kepada masa, justeru margin tersebut dijangka kembali normal pada 2H26.
Beberapa faktor yang berpotensi menjadi pemangkin penilaian semula saham PDB, termasuk pertumbuhan volum runcit yang berterusan, permintaan Jet A-1 yang lebih kukuh didorong sektor pelancongan serta peningkatan margin segmen komersial. - DagangNews.com






