Tune Protect lancar TPXtra gabungkan insurans dan perkhidmatan gaya hidup

Business & FinanceLifestyle
15 Oct 2026 • 12:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tune Protect lancar TPXtra gabungkan insurans dan perkhidmatan gaya hidup Image from: Tune Protect lancar TPXtra gabungkan insurans dan perkhidmatan gaya hidup johardy15/10/2026 - 12:33 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Tune Protect Group Berhad melancarkan TPXtra, platform digital yang menggabungkan perlindungan insurans boleh disesuaikan, perkhidmatan nilai tambah dan pengalaman gaya hidup menerusi satu akaun pelanggan.

 

Inisiatif itu membolehkan Tune Protect menjalin hubungan secara langsung dan berterusan dengan pelanggan, melangkaui urusan pembelian insurans semata-mata.

 

Dikuasakan oleh White Label Sdn Bhd, cabang teknologi kumpulan itu, TPXtra menyokong strategi Beyond Insurance Tune Protect dengan menghubungkan pelanggan kepada pelbagai perkhidmatan pelancongan, mobiliti dan gaya hidup.

 

Pelanggan boleh menyesuaikan perlindungan insurans mengikut keperluan dan bajet masing-masing, selain memilih perkhidmatan sampingan yang menawarkan nilai lebih baik apabila dibeli bersama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian berkata, syarikat itu berhasrat bekerjasama dengan rakan niaga untuk mengintegrasikan penyelesaian dan pengalaman gaya hidup yang bersesuaian.

 

"Nilai sesebuah ekosistem digital bergantung kepada sejauh mana ia mampu memberikan sebab yang kukuh untuk pelanggan terus kembali menggunakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.


 

How Kim Lian
How Kim Lian

 


Menurut How, setiap kerjasama akan mengukuhkan hubungan langsung Tune Protect dengan pelanggan yang mahu dibangunkan kumpulan itu untuk jangka panjang.

 

Travel Beyond tawar perlindungan fleksibel

Penawaran pertama menerusi TPXtra ialah Travel Beyond yang membolehkan pelanggan menyesuaikan perlindungan insurans perjalanan dan memilih manfaat mengikut keperluan serta bajet masing-masing.

 

Penawaran itu turut merangkumi perkhidmatan berkaitan perjalanan termasuk sambungan eSIM, manfaat Delay Pass, akses ke ruang istirahat lapangan terbang dan pengangkutan dari dan ke lapangan terbang yang boleh ditempah serta ditebus melalui akaun pelanggan.

 

How berkata, pelanggan lazimnya membeli insurans ketika membuat tempahan perjalanan, manakala perkhidmatan perjalanan lain diperoleh melalui penyedia berasingan.

 

Menerusi TPXtra, pelanggan boleh memilih perkhidmatan yang bersesuaian, menambah pilihan lain apabila rancangan perjalanan berubah dan mengaksesnya sepanjang perjalanan mereka.

 

Maklumat akaun dan perkhidmatan sedia ada pelanggan juga akan tersedia untuk perjalanan seterusnya, sekali gus memudahkan urusan tempahan dan pengurusan keperluan perjalanan.

 

Perluasan kepada perkhidmatan kenderaan dan kediaman

Tune Protect sedang memperluas rangkaian rakan niaganya dalam bidang sambungan komunikasi, ruang istirahat lapangan terbang, pengangkutan darat dan mobiliti, selain merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan telekesihatan, penjagaan kenderaan serta perkhidmatan gaya hidup harian.

 

Kerjasama itu membolehkan rakan niaga mengakses pelanggan pada peringkat yang bersesuaian melalui TPXtra dan saluran pengedaran serantau Tune Protect, tanpa perlu membangunkan sendiri infrastruktur pengedaran yang setara.

 

Beberapa rakan niaga sudah menawarkan perkhidmatan mereka, manakala Tune Protect terus mengalu-alukan penyertaan peniaga dan penyedia perkhidmatan tambahan.

 

Kumpulan itu turut merancang memperkenalkan Motor Beyond dan Home Beyond mulai akhir 2026 dan seterusnya bagi memperluas penawarannya kepada penyelesaian berkaitan mobiliti dan kediaman.

 

Langkah itu akan membolehkan pelanggan mengurus pelbagai keperluan gaya hidup menggunakan profil sedia ada, sambil mengekalkan hubungan berterusan dengan Tune Protect. – DagangNews.com

 

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved