SHAH ALAM - UMNO Selangor diyakini akan menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) apabila tiba masanya dan tidak akan terus bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, keyakinan itu bersandarkan pendirian pimpinan parti itu yang kekal berpegang kepada prinsip serta tidak mengejar jawatan dalam kerajaan negeri.
"Insya-ALLAH bila sampai masanya UMNO Selangor akan bersama-sama dengan PN di negeri Selangor dan tidak akan bersama dengan PH. Kita tunggu dan lihat," katanya dalam satu video beliau pada malam Khamis.
Noh berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Afif Bahardin yang mencabar Barisan Nasional (BN) menarik sokongan di Selangor jika benar-benar berani.
Afif menjelaskan, jika kerjasama UMNO dan Pas ikhlas serta bukan sekadar gimik politik, tindakan itu perlu dibuat sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 3 Ogos ini.
Afif berkata, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri yang juga ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail dan ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz perlu keluar daripada kerajaan negeri serta menyertai blok pembangkang sekiranya UMNO benar-benar memilih untuk bersama Pas.
Mengulas kedudukan Rizam, Noh berkata, perkara itu terserah kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membuat keputusan.
"Biarlah Menteri Besar yang putuskan sama ada mahu pecat atau tidak," tambah beliau.
Menurut Noh, dakwaan UMNO Selangor mengejar jawatan tidak berasas kerana pimpinan parti itu didakwa menolak pelbagai tawaran jawatan daripada kerajaan negeri.
Katanya, Megat Zulkarnain juga menolak pelantikan sebagai ahli pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta ketua kampung.
"Ini menunjukkan UMNO Selangor tidak kejar jawatan dan berani meneruskan perjuangan," katanya.
Pada masa sama, Noh turut memuji kehadiran pimpinan UMNO Selangor dalam himpunan mempertahankan kedaulatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu penternakan babi yang dianjurkan Pas di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Katanya, beliau terharu melihat pimpinan UMNO termasuk Megat Zulkarnain, Ketua Pemuda UMNO Selangor serta Johan yang hadir menyatakan sokongan terhadap Sultan Sharafuddin.
"Saya sendiri menitiskan air mata apabila melihat pimpinan UMNO bersama-sama dalam himpunan itu memberikan sokongan terhadap kedaulatan Sultan Selangor.
"Namun saya dimaklumkan terdapat arahan daripada pimpinan Bersatu Selangor supaya ahli parti itu tidak menyertai himpunan berkenaan, jadi di mana prinsip perjuangan Bersatu?" soal beliau.






