Kemelut berkaitan takhta Negeri Sembilan terus menjadi perhatian selepas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir masih kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Pendirian tersebut sekali gus bercanggah dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang sebelum ini mengiktiraf proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz serta pemilihan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu.

Menurut Setiausaha DKU Negeri Sembilan, kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar dan Yang di-Pertua Dewan kekal selagi jawatan berkenaan masih dipegang secara sah.
“Dewan menegaskan semula bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua Dewan. Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah.”
DKU berkata pendirian tersebut dibuat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), selain menegaskan urusan berkaitan pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar berada dalam bidang kuasa Dewan.
Kemelut takhta itu bermula pada 19 April lalu apabila satu proklamasi dikeluarkan bagi menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta, manakala Tunku Nadzaruddin dipilih sebagai pengganti. DKU kemudian mempertikaikan kesahihan proses tersebut dan mendakwa proklamasi berkenaan cacat dari awal kerana beberapa syarat serta proses perlembagaan tidak dipenuhi.

Bagaimanapun, MMK Negeri Sembilan pada 16 September mengambil pendirian berbeza apabila menyatakan proklamasi tersebut sah dan telah disempurnakan selepas ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos.
DKU bagaimanapun menolak pendirian itu dan berkata MMK tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan.”
DKU turut menyatakan bahawa kesahan serta kesan proklamasi tersebut perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk penentuan kehakiman. (Kosmo Online)
Situasi itu menyaksikan dua pendirian berbeza mengenai siapa yang sah memegang takhta Negeri Sembilan, sekali gus meneruskan kemelut yang bermula sejak April lalu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Anggota Tentera Didakwa Sepak Anak 5 Tahun Di Restoran, Mengaku Tidak Bersalah
The post Tunku Nadzaruddin Tak Jadi Pula Naik Takhta, DKU Tegas Tuanku Muhriz Kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






