
KULAI – Tiga lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung tindakan menutup laluan awam dan perlumbaan haram di Lebuh Raya Linkedua, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, tangkapan terbaharu itu menjadikan 11 individu ditahan setakat ini berhubung kejadian berkenaan.
Menurut beliau, kesemua tiga suspek ditahan di Kuala Lumpur dan akan dibawa ke Mahkamah Kulai bagi permohonan reman.
“Kesemua tiga individu yang ditahan di Kuala Lumpur ini akan dibawa ke Mahkamah Kulai bagi permohonan perintah reman. Siasatan lanjut bagi kes ini masih diteruskan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Polis Johor menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun termasuk seorang pempengaruh permotoran pada Ahad lalu.
Kesemua lapan suspek berkenaan telah direman selama empat hari oleh Mahkamah Kulai bagi membantu siasatan.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 pagi membabitkan laluan dari Kilometer 33 (Susur Tol Senai) hingga Kilometer 31 (Susur Johor Premium Outlet).
Kejadian itu terbongkar selepas rakaman video berdurasi 33 saat tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu sengaja menghalang laluan lebuh raya bagi memberi laluan kepada dua penunggang motosikal berlumba.
Lebih mengejutkan, kumpulan berkenaan turut dilihat membakar mercun bagi meraikan tamat perlumbaan sebelum berkumpul di bahu jalan.-KOSMO! ONLINE
The post Tutup Linkedua: Tiga lagi lelaki ditahan di KL appeared first on Kosmo Digital.





![[KEMASKINI] Tutup Linkedua: Dua lelaki kena reman 4 hari, seorang lagi sehari](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/tutup-jalan-lumba-haram-1024x822.jpeg)
