KULIM - Polis menahan enam individu tempatan termasuk wanita yang disyaki mendaftar menggunakan dokumen pengenalan diri individu lain semasa melahirkan bayi di sebuah hospital swasta di Sungai Petani pada Jumaat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 24 tahun itu ditahan sejurus melahirkan bayi lelaki di hospital terbabit bersama tiga wanita dan dua lelaki lain berusia antara 27 hingga 50 tahun.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan bagi siasatan kes membabitkan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
"Siasatan awal mendapati modus operandi disyaki menggunakan ibu hamil tanpa nikah menggunakan identiti wanita lain bagi tujuan pendaftaran, pemeriksaan, rawatan kehamilan dan proses kelahiran di sebuah pusat bersalin swasta serta apabila didaftarkan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Jadi dalam enam orang suspek ini, salah seorang tawar pada wanita sebelum bersalin lagi... pergi ke hospital swasta dan mereka tanggung kos hospital lebih kurang RM9,000, wanita yang nak bersalin ini diberi wang saku lagi sebanyak RM8,000," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini pada Rabu.
**media[3626914]**
Adzli berkata, tangkapan turut membabitkan seorang wanita berusia 27 tahun yang namanya digunakan untuk pendaftaran, bersama suaminya berusia 41 tahun.
Beliau berkata, pasangan itu dikatakan telah berkahwin selama lima tahun dan belum dikurniakan anak.
Jelas beliau, polis merampas empat telefon bimbit, dua gelang penandaan hospital, satu kad pengenalan, satu kad temu janji, tiga resit pusat bersalin, satu borang kemasukan wad dan sebuah kereta jenis Proton Saga.
"Kesemua telah direman 11 hari bagi siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] yang boleh dihukum penjara seumur hidup ataupun tidak kurang lima tahun dan juga sebatan.
"Siasatan juga akan dijalankan mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu memindah pemilikan kanak-kanak secara yang menyalahi undang-undang," katanya.
Menurutnya, bayi ditempatkan di Hospital Sultan Abdul Halim dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurut Adzli, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh tampil menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Azmirul Abdul Aziz, di talian 019-4446521 atau balai berhampiran.






