amree22/09/2026 - 12:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang meneroka langkah memperkukuh peranan dan kompetensi setiausaha syarikat dalam semua syarikat tersenarai awam susulan perubahan landskap tadbir urus korporat yang semakin kompleks.
Pengerusinya, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, antara usaha diterokai ialah penubuhan pasukan petugas pelbagai pihak melibatkan pengawal selia dan badan profesional bagi membangunkan rangka kerja kompetensi yang seragam untuk setiausaha syarikat.
Menurutnya, langkah itu penting kerana peranan setiausaha syarikat bukan lagi terhad pematuhan undang-undang dan penyimpanan rekod, sebaliknya merangkumi fungsi sebagai penasihat dipercayai serta membantu lembaga pengarah membuat keputusan berkesan.
"Tadbir urus korporat tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai struktur, peraturan, dasar atau keperluan pendedahan, sebaliknya perlu berteraskan kepada nilai, integriti dan keberanian untuk membuat keputusan yang lebih tepat," jelas beliau.
Beliau menegaskan perkara itu ketika menyampaikan ucaptama pembukaan pada Sidang Kemuncak CGI Global Governance 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC Kuala Lumpur yang turut dihadiri Presiden Chartered Governance Institute (CGI) Global, Gillian Meller.
Tambah Mohammad Faiz, lembaga pengarah kini berdepan persekitaran yang semakin kompleks susulan perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), tuntutan kelestarian, ketidaktentuan geopolitik serta jangkaan pihak berkepentingan yang semakin tinggi.

Sehubungan itu, tadbir urus perlu berkembang daripada pendekatan hanya bertujuan mencegah kegagalan korporat kepada sistem yang membantu organisasi membuat keputusan lebih baik dalam keadaan tidak menentu dan seterusnya mencipta nilai jangka panjang.
"Tadbir urus yang baik akhirnya perlu menjadi pemacu penciptaan nilai, dengan pelabur dan pihak berkepentingan semakin menuntut lembaga pengarah menunjukkan amalan tadbir urus menyumbang kepada daya tahan, daya saing dan hasil yang mampan," katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Faiz berkata, Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) 2026 yang akan diterbitkan tahun ini mengekalkan prinsip teras seperti akauntabiliti, integriti, ketelusan dan pengawasan berkesan, selain menggalakkan pengarah berpandangan jauh.
Beliau berkata MCCG 2026 dibangunkan berdasarkan keperluan untuk memastikan rangka kerja tadbir urus terus relevan apabila model perniagaan, teknologi dan jangkaan pihak berkepentingan berubah pantas, selaras usaha SC memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat.
Justeru, beliau mengingatkan bahawa kualiti tadbir urus tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah dasar, pendedahan atau jawatankuasa, sebaliknya berdasarkan keupayaan membantu organisasi membuat keputusan lebih baik, meningkatkan daya tahan, membina kepercayaan dan mencipta nilai.
"Pendekatan ini turut melengkapi program 'MY Value Up' yang dilancarkan pada April 2026 bagi syarikat tersenarai besar, dengan tadbir urus baik menjadi asas kepada keputusan lebih berkualiti, kepercayaan dan daya tahan organisasi," kata Mohammad Faiz. - DagangNews.com





