UEM Sunrise perkenal projek One Oval bernilai RM1.89 bilion di Perth, Australia

22/09/2025 - 12:58
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Sept – UEM Sunrise Bhd memperkenalkan projek pembangunan terbaharunya di Australia, One Oval yang bernilai AS$450 juta (RM1.89 bilion) kepada pembeli Malaysia menerusi pratonton khas di UEM Sunrise Showcase Gallery, Mont’Kiara sebelum melancarkan kempen pemasaran antarabangsa.
Projek yang terletak di Subiaco, Australia Barat itu adalah kemasukan pertama UEM Sunrise ke pasaran Perth dalam usahanya meluaskan portfolio hartanah di luar Melbourne.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, pengenalan One Oval di Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada usaha Kumpulan untuk memberi peluang kepada pembeli Malaysia dengan projek antarabangsa yang berkualiti.
“Dengan One Oval, kami bukan sahaja memperkenalkan pembangunan mercu tanda yang menitikberatkan keceriaan, kualiti hidup baik dan kelestarian malah turut menawarkan gaya hidup berteraskan komuniti.
“Nilai-nilai ini akan terus menjadi teras untuk kami fokuskan dalam membentuk ruang yang menyokong komuniti masa kini dan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan semula Subi East yang diterajui DevelopmentWA, One Oval akan dibangunkan di atas dua lot tanah melibatkan dua menara dengan kemudahan runcit di aras bawah.
Menara Selatan terdiri daripada bangunan setinggi 26 dan 36 tingkat dengan 245 unit kediaman dan empat unit runcit berkeluasan 340 meter persegi. Harga jualan unit bermula daripada AS$675,000 hingga AS$2 juta.
Menara Utara pula setinggi 11 tingkat menempatkan 97 unit dengan 41 daripadanya diperuntukkan untuk perumahan mampu milik selaras objektif inklusif di Australia Barat.
Setiap unit ditawarkan pada harga antara AS$650,000 hingga AS$820,000.
Kedua-dua menara dijangka siap pada tahun 2029 dengan Menara Utara pada suku pertama diikuti Menara Selatan pada penghujung tahun.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang separuh Olimpik, gimnasium, simulator golf, pawagam peribadi, kelab berbumbung dengan ruangan yoga, ruang BBQ serta kebun herba komuniti.
UEM Sunrise menyasarkan penarafan 5 bintang ‘Green Star’ di bawah standard ‘Green Star Buildings 1.0’ bagi projek tersebut dengan kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada separuh kedua 2026. - DagangNews.com
standard


