Ujian Awal Cip Grafik Intel Arc B390 Memperlihatkan Kadar Bingkai Tinggi Pada Permainan Komputer Moden

TechnologyGaming
8 Jan 2026 • 12:12 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Dengan pelancaran siri cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 3 terbaru, mereka juga telah memperlihatkan ketibaan cip pemprosesan grafik Intel Arc B390 yang tampil pada sejumlah cip pemprosesan Intel Core Ultra X terbaru.

Terkini, beberapa laman berita teknologi yang berada di acara CES 2026 di Las Vegas sempat menguji kemampuan cip pemprosesan tersebut, khususnya kemampuan gaming cip grafik terbina yang baru. Seperti yang sedia maklum, cip Intel Arc B390 menggunakan cip Intel Xe3 “Battlemage” yang dikemaskini dan hadir dengan jumlah teras lebih banyak berbanding cip grafik Intel Arc 140V sebelum ini.

image is not available

Spesifikasi sistem yang diuji nampaknya ialah sebuah komputer riba Lenovo yang menggunakan cip pemprosesan Intel Core Ultra X9 388H yang dilengkapi memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan storan PCIe 4.0.

Pihak Tom’s Hardware telah menguji sejumlah permainan-permainan komputer moden seperti Baldur’s Gate 3, Cyberpunk 2077, Doom: The Dark Ages, F1 2025 dan Monster Hunter: Wilds pada resolusi 1080p dan 1200p dengan tetapan tinggi dan mendapati bahawa permainan-permainan ini boleh digerakkan pada kadar segar semula yang tinggi pada beberapa permainan.

image is not available

Tajuk seperti Cyberpunk 2077 (81.4FPS) dan F1 2025 (109.5FPS) mencatatkan purata kadar bingkai yang agak tinggi, manakala permainan seperti Doom: The Dark Ages (51.1FPS) dan Baldur’s Gate 3 (68.4FPS) mencatatkan prestasi yang cukup baik juga.

Dan lebih menarik lagi, prestasi ini dilihat menggunakan perisian pemandu yang belum dioptimasikan lagi, dan jangkaannya ialah komputer-komputer riba dengan cip Intel Core Ultra Series 3 akan mula ditawarkan untuk ulasan sekitar penghujung bulan ini.