Sejak Pat Gelsinger mengambil-alih jawatan sebagai CEO Intel pada awal tahun 2021, beliau telah memperkenalkan satu projek baru yang dinamakan IDM 2.0 (Integrated Device Manufacturing) dan 5N4Y (peningkatan lima proses pengeluaran cip semikonduktor baru dalam masa empat tahun) untuk menghidupkan kembali bahagian pengeluaran cip semikonduktor mereka, yang telah tersekat menghasilkan cip menggunakan proses 14nm dan 10nm untuk sekian lamanya, apabila syarikat-syarikat seperti TSMC dan Samsung sudahpun kearah 5nm, menghasilkan cip pemprosesan yang jauh lebih berkuasa dan cekap.

Beliau kini telah digantikan oleh Lip-Bu Tan, tetapi projek IDM 2.0 masih lagi diteruskan, dan kini, dengan pengenalan proses pengilangan cip 18A (1.8nm) mereka, Intel akhirnya telah mula menghasilkan cip pemprosesan moden mereka sendiri setelah dua generasi bergantung kepada kapasiti pengeluaran TSMC. Bermula dengan cip Intel Panther Lake, ataupun Intel Core Ultra 300, Intel nampaknya sudah mula kembali ke landasan sebagai sebuah gergasi cip semikonduktor global yang bukan sahaja mereka cip semikonduktor mereka sendiri, tetapi juga mampu menghasilkannya tanpa memerlukan bantuan luar.
5N4Y Akhirnya Membuahkan Hasil
Sebelum beransur ke ulasan komputer riba dan cip pemprosesan ini, saya mahu bercakap sedikit tentang usaha Intel untuk kembali sebagai salah satu pengeluar cip semikonduktor terbesar di dunia. Intel merupakan salah satu daripada sekumpulan kecil syarikat pengeluar cip semikonduktor yang hadir dengan kemampuan untuk bukan sahaja merekacipta cip mereka sendiri, tetapi juga untuk menghasilkan bekalan mereka sendiri.
Apabila Pat Gelsinger mengambil-alih tampuk kepimpinan Intel pada tahun 2021, beliau telah memperkenalkan pelan 5N4Y ataupun pengenalan lima nod pengeluaran cip semikonduktor baru dalam masa empat tahun.
Intel pada waktu itu masih menggunakan nod pengeluaran 14nm dan 10nm untuk menghasilkan cip pemprosesan mereka apabila syarikat-syarikat seperti TSMC dan Samsung sudahpun menggunakan proses teknologi 5nm dan 4nm untuk pengeluaran cip semikondutkor pada waktu tersebut.

Ini menyebabkan Intel tidak lagi menjadi pengeluar cip semikonduktor terkemuka, dan ketinggalan di belakang syarikat-syarikat tersebut. Dengan pelan 5N4Y, mereka telah mempercepatkan pembangunan teknologi pengilangan cip semikonduktor, dan bermula tahun ini, Intel Panther Lake telah dihasilkan secara sendiri sekali lagi menggunakan proses 18A (1.8nm) terbaru mereka.
Sebelum ini, cip pemprosesan desktop Intel Alder Lake, cip pemprosesan komputer riba Meteor Lake dan Lunar Lake telah direka oleh Intel, tetapi menggunakan khidmat TSMC untuk bahagian pengeluarannya kerana pada masa tersebut, Intel yang baru menggunakan proses Intel 4 (4nm) masih belum berupaya untuk bersaing dengan TSMC untuk pengeluaran cip semikonduktor dengan proses moden.
Ada Apa Dengan Intel Core Ultra 300
Siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” merupakan pengganti kepada siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200 “Lunar Lake” yang diperkenalkan pada tahun 2024 untuk komputer riba kelas nipis dan ringan yang masih hadir dengan kuasa pemprosesan grafik Intel Arc yang dilihat cukup berkuasa.

Dengan Intel Core Ultra 300, Intel telah membuat satu perubahan yang besar, iaitu mengalihkan komponen memori keluar daripada SoC, membolehkan klien pembangun komputer riba kebebasan untuk menetapkan konfigurasi memori mereka sendiri. Walaubagaimanapun, untuk siri cip ini, mereka masih diwajibkan menggunakan memori dengan kelajuan tinggi, termasuklah LPDDR5X-9600 untuk CPU Core Ultra X9 dan Core Ultra X7 dan LPDDR5X-6000 untuk yang lain.
Penamaan siri cip pemprosesan ini juga telah diubah, dengan dua penamaan berbeza. Sebagai contoh, model Intel Core Ultra X9 dan juga Intel Core Ultra 9. Label “X” memperlihatkan bahawa model cip pemprosesan tersebut hadir dengan cip pemprosesan grafik Xe3 “Battlemage” yang dikemaskini. Model Intel Core Ultra X9 388H dan Intel Core Ultra X7 358H khususnya hadir dengan cip pemprosesan grafik Intel Arc B390 terbina didalamnya, yang merupakan penaiktarafan ketara berbanding dengan cip grafik Intel Arc 140V yang diperkenalkan bersama Intel Lunar Lake sebelum ini.

Intel mengatakan bahawa perubahan paling ketara yang dapat diperlihatkan pada cip pemprosesan Panther Lake ialah melalui Low Power E-core mereka yang terbarudan kini dihasilkan menggunakan proses 18A. Teras Darkmont dikatakan bukan sahaja hadir dengan kemampuan pemprosesan satu teras yang lebih baik berbanding dengan teras Skymont yang digunakan sebelum ini, tetapi juga lebih cekap dalam penggunaan kuasa.

Secara ringkasnya, dengan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” baru ini, Intel nampaknya telah akhirnya menemui gabungan prestasi dan juga kecekapan tenaga yang sukar untuk dicapai sehingga kini.
Spesifikasi Dan Rekaan
| Nama Model | MSI Prestige Flip 14 AI+ |
| Saiz Paparan | 14″, 2K (1920 x 1200) OLED 16:10, 120Hz, Sokongan sesentuh |
| Pemproses | Intel Core Ultra X7 358H, 4.8GHz (Boost) (16 teras, 16 Bebenang) Intel AI Boost 50 AI TOPS |
| Cip Grafik | Intel Arc Graphics B390 (2.5GHz) |
| RAM | 32GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 1TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD |
| Kamera | Full HD |
| Palam I/O | 1x USB 3.2 Gen 1 Type-A 2x USB 4.0 Thunderbolt 4 Type-C DP/PD 1x HDMI 2.1 TMDS |
| Sistem Operasi | Windows 11 Home |
| Sekuriti | Imbasan wajah dengan Windows Hello, pengimbas cap jari |
| Bateri | 81WHr Pengecas 65W |
| Harga | Akan diumumkan |
Intel telah menghantar komputer riba MSI Prestige 14 AI+ untuk kami uji cip pemprosesan komputer riba terbaru ini. Ia menempatkan sebuah cip pemprosesan Intel Core Ultra X7 258H, yang hadir bersama-sama memori LPDDR5X 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.
Dengan Panther Lake, anda akan sedar bahawa terdapat dua siri cip pemprosesan dengan nama berbeza, satu ialah Intel Core Ultra biasa, dan satu lagi ialah Intel Core Ultra X. Penamaan “X” ini adalah penting kerana siri cip pemprosesan ini, yang terdiri daripada Intel Core Ultra X9 288H, Intel Core Ultra X7 258H dan juga Intel Core Ultra X5 338H hadir dengan cip pemprosesan grafik Intel Xe3 “Battlemage” yang terbaru. Ini merupakan Intel Arc B390 (untuk model Intel Core Ultra X9 dan Ultra X7) dan Intel Arc B370 (Intel Core Ultra X5) yang hadir dengan kemampuan pemprosesan grafik yang lebih baik.

Satu perbezaan utama yang juga diperlihatkan pada cip pemprosesan Panther Lake kali ini ialah ia tidak mempunyai komponen memori terbina didalam cip. Untuk siri cip ini, komponen memori dipateri ke papan induk, tetapi penawaran memori tinggi masih lagi dikekalkan. Cip pemprosesan Intel Core Ultra X7 258H ini khususnya hadir dengan penawaran memori 32GB dengan kelajuan 9600MT/s, dan ini membolehkannya untuk menjadi sebuah cip komputer riba yang agak berkuasa.
Tetapi apa yang lebih penting untuk pengguna ialah ia hadir dengan prestasi yang hebat untuk sebuah komputer riba kelas nipis dan ringan.
Pengalaman Pengguna
Dalam tempoh 2-3 minggu saya menggunakan komputer riba MSI Prestige Flip 14 AI+, terdapat banyak benda yang saya sangat sukakan mengenainya, tetapi terdapat juga beberapa isu yang juga agak merisaukan.

Dari segi kemampuan produktiviti, komputer riba ini langsung tidak mengecewakan. Untuk tugasan harian, ia lebih dari cukup berkuasa dan berkemampuan untuk membuka lebih dari 20 tab di pelayar web Microsoft Edge ataupun Google Chrome sekaligus, dan mampu menyunting imej dan video ringkas walaupun ia menggunakan kuasa bateri komputer sahaja.

Tontonan resolusi tinggi (4K) juga tidak memperlihatkan sebarang masalah seperti isu tersekat ataupun video dan audio tidak segerak tidak kira sumber tontonan video tersebut. Malah, dengan paparan skrin sesentuh OLED 14 inci dengan resolusi 1920×1200 ini, kandungan video yang diperlihatkan sangat cantik sekali.

MSI Prestige Flip 14 AI+ ialah sebuah komputer riba yang mana bahagian paparannya boleh dipusing 360 darjah untuk digunakan sebagai sebuah tablet. Fungsi ini berguna untuk tujuan kolaborasi ataupun digunakan sebagai paparan skrin untuk menonton kandungan video atau memainkan permainan komputer kegemaran tanpa sebarang gangguan.


Di perenggan sebelum ini, saya telah bercakap sedikit tentang kemampuan gaming komputer riba ini. Saya telah memainkan beberapa permainan kegemaran saya kebelakangan ini seperti Wuthering Waves dan Arknights: Endfield, dan dalam pengalaman saya memainkan permainan-permainan aksi ini, ia cukup lancar sekali, pada resolusi Full HD dan kadar segar semula lebih tinggi dari 60FPS.

Secara lazimnya juga, apabila memainkan permainan komputer pada komputer riba, anda akan perlu memasang kabel kuasa untuk menyambungkan komputer kepada bekalan kuasa tetap untuk mendapatkan prestasi terbaik. Oleh kerana cip Intel Arc B390 merupakan cip grafik yang terbina didalam komponen CPU dan juga kecekapan penggunaan tenaga secara keseluruhan, saya tidak memperlihatkan penurunan kualiti yang begitu ketara walaupun apabila permainan komputer dimainkan dengan kuasa bateri.
Walaupun begitu, anda masih akan mahu menyambungkan komputer riba anda kepada bekalan elektrik tetap kerana bergantung kepada permainan yang dimainkan, kuasa bateri hanya akan bertahan dari 45 minit ke sejam setengah, bergantung kepada permainan komputer yang dimainkan. Permainan komputer yang tidak memerlukan begitu banyak kuasa pemprosesan grafik dan CPU akan bertahan dengan lebih lama.


Dari segi pengeluaran haba, komputer riba ini kekal sejuk dibawah penggunaan produktiviti biasa, tetapi apabila ia memerlukan kuasa pemprosesan yang lebih tinggi, tidak kira CPU ataupun GPU, bahagian papan kekunci akan menjadi suam dan kemudiannya dengan cepat sekali.
Jika anda menggunakan komputer riba ini untuk tujuan gaming, saranan saya ialah untuk menggunakan alat kawalan USB atau menggunakan papan kekunci dan tetikus tambahan kerana haba yang dijana oleh CPU dan GPU sangat-sangat panas.
Kemampuan Bateri
MSI Prestige 14 Flip AI+ hadir dengan bateri sebesar 81WHr, dan bergantung kepada corak penggunaan, saya dapati bahawa ia boleh bertahan selama 16-18 jam dengan penggunaan secara terus, dan secara lazimnya, untuk saya, ia lazimnya memperlihatkan ketahanan bateri 15-16 jam melalui gabungan tugasan pejabat dan tontonan video sekali-sekala.

Isu haba juga dapat diperlihatkan apabila anda menggunakan komputer riba ini sambil mengecasnya, jadi jika anda mahu mengelak isu haba ini, saranan saya ialah untuk mengecas komputer riba ini apabila ia tidak digunakan, dan hanya menggunakannya dengan kuasa bateri sahaja, melainkan anda sedang gaming dengannya.

Jangka hayat bateri panjang dengan cip Intel Core Ultra 300 ini merupakan salah satu daripada beberapa perkara yang saya sangat sukakan mengenainya. Secara ringkasnya, dengan satu pengecasan penuh, ia hadir dengan jangka hayat bateri yang hampir memiripi sebuah komputer riba Apple tetapi dengan kemampuan dan sokongan perisian dan gaming yang lebih meluas.
Penanda Aras
Ini adalah skor ujian penanda-aras yang sempat kami uji pada MSI Prestige Flip 14 AI+. Kami tidak dapat menunjukkan skor PCMark10 kerana isu yang menyebabkan perisian tersebut tidak boleh melengkapkan ujian tersebut.
GeekBench

CineBench R24

3DMark FireStrike Extreme

Penutup
Cip pemprosesan Intel Core Ultra X7 358H, malah siri cip Intel Core Ultra 300 pada pendapat saya ialah usaha bertahun-tahun dari Intel untuk mengejar teknologi proses pengeluaran cip semikonduktor yang akhirnya membuahkan hasil.
Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba dengan rekaan nipis dan ringan dengan gabungan kemampuan pemprosesan yang hebat, siri cip Intel Core Ultra 300 boleh menjadi pilihan baik untuk anda, khususnya jika kos pembelian bukanlah suatu isu yang besar untuk anda.

Akan tetapi perkara ini hanya benar untuk siri cip pemprosesan Intel Core Ultra X sahaja. Apabila membeli komputer riba baru, anda akan perlu peka dengan penamaan model cip pemprosesan supaya anda tidak tersalah membeli komputer riba dengan model CPU yang salah. Model X9, X7 dan X5 adalah satu-satunya model yang hadir dengan cip pemprosesan grafik Xe3 yang baru, manakala model-model Intel Core Ultra 300 yang lain masih lagi menggunakan cip pemprosesan grafik yang lebih lama.
Pro:
- Prestasi perkomputeran dan gaming yang mantap
- Rekaan nipis dan ringan
- Jangka hayat bateri yang panjang
- Sokongan teknologi palam dan sambungan nirwayar yang terbaru
Kontra:
- Berpotensi panas apabila digunakan sewaktu dicas
- Tidak semua model hadir dengan cip grafik Intel Xe3
- Penamaan model cip pemprosesan yang berubah sekali lagi dan masih mengeliruka


