
KUALA LUMPUR – Status juara bertahan tidak menghalang Universiti Malaya (UM) daripada mencipta sensasi di laman sendiri apabila menumbangkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1-0 untuk merangkul emas bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di UM Arena, sebentar tadi.
Kemenangan itu lebih bermakna apabila UM bukan sahaja membawa pulang ibu segala pingat, malah turut dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Pendidikan Tinggi.
Mohamed Amin Imran Mohamed Akbar muncul wira tuan rumah apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan babak pertama selepas UM sebelum itu diasak hebat UiTM.
UiTM menguasai sebahagian besar aksi separuh masa pertama dengan beberapa peluang berbahaya, namun kecemerlangan penjaga gol UM, Aghni Abdul Shukor Abduloh menjadi benteng terakhir yang menggagalkan usaha juara bertahan itu.
Situasi semakin sukar buat UiTM lima minit selepas permainan bersambung apabila Wan Muhammad Aqil Hakimi Wan Ahmad Hazmi dilayangkan kad merah, sekali gus memberikan kelebihan seorang pemain kepada UM.
Tuan rumah cuba memanfaatkan kelebihan tersebut untuk menambah jaringan, namun beberapa peluang yang terhasil gagal diterjemahkan kepada gol.
UiTM pula terus memberikan tentangan dalam usaha memburu gol penyamaan, tetapi benteng UM kekal bertahan sehingga penghujung permainan.
Drama berterusan pada masa kecederaan babak kedua apabila UM turut terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Ameer Nur Iman Aminuddin dilayangkan kad merah.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan UM menamatkan penguasaan juara bertahan UiTM dan mengesahkan emas bola sepak SUKIPT 2026 menjadi milik tuan rumah.
The post UM kejutkan juara bertahan UiTM, rangkul emas SUKIPT 2026 appeared first on MYBERITA.






