
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- UMNO menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penangguhan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang menzahirkan rasa sedih atas penangguhan itu berkata UMNO tetap menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda serta mendukung dan mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu.
“Dan, kami merayu agar gunakan seluruh kebijaksanaan dan daulat Tuanku untuk membuat keputusan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.
Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
“Guru, Dengarlah Guru Jangan Butakan Mata, Jangan Tulikan Telinga,” - Zahid
Pemuda UMNO Terima Keputusan Permohonan Pengampunan Najib Ditangguhkan
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hari ini, yang menyaksikan Sultan Ibrahim turut berkenan membebaskan 65 banduan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu.
“Tetapi seperti yang telah kita nyatakan dalam kenyataan sebelum ini, kita perlu menghormati apa jua keputusan Yang di-Pertuan Agong kerana ia adalah hak prerogatif Seri Paduka Baginda di bawah Perlembagaan,” katanya.






