
KUALA LUMPUR: UMNO memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebarang pendakwaan terhadap pemimpinnya, jika mempunyai bukti kukuh.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lazimnya sebelum pendakwaan dilakukan, ia tentunya dimulakan dengan siasatan terlebih dahulu.
Katanya, pada peringkat siasatan, ia hendaklah dilakukan secara adil dan telus.
“Pendirian kami jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kami tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM.
“Tapi lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan, tentunya ia dimulakan dengan siasatan dan proses itu hendaklah dibuat secara adil dan telus,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO yang pernah memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda diheret ke mahkamah susulan terlibat dalam siasatan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tindakan membawa mereka untuk direman dengan menggunakan baju tahanan disanggah pimpinan UMNO termasuk dalam mesyuarat Jemaah Menteri kerana disifatkan sebagai cubaan memburukkan imej parti tersebut.
Pada masa sama, UMNO juga kurang senang dengan tindakan itu kerana pemimpinnya yang ditahan hanya melalui proses tahanan reman tetapi dianggap dimalukan dengan mengenakan baju oren (tahanan SPRM).
Terbaharu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan mengenakan baju lokap ungu PDRM. – UTUSAN
The post UMNO tiada halangan pemimpin didakwa, namun siasatan perlu adil – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.






