Umpil besi tingkap, selamatkan adik lumpuh daripada rentung

14 Aug 2026 • 10:44 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Umpil besi tingkap, selamatkan adik lumpuh daripada rentung

TUMPAT – Seorang wanita nekad mengumpil besi tingkap bilik tidur untuk menyelamatkan adiknya yang lumpuh separuh badan daripada rentung selepas rumah mereka di Kampung Kubu, Telaga Bata, di sini terbakar dalam kejadian pada petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang menyebabkan Muhammad Fazli Mustafa, 35, melecur pada perut dan sesak nafas sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Kakaknya, Siti Nor Azizan Mustafa, 40, dia sedang tidur ketika kejadian sebelum terjaga apabila terasa panas di rumah tersebut dan terus ke sebuah bilik yang dijadikan sebagai ruang solat.

“Apabila membuka pintu, saya dapati
bilik tersebut sudah terbakar. Saya terus menjerit sekuat hati untuk meminta pertolongan.

“Jeritan saya itu telah didengari oleh suami, ibu dan ayah. Dalam keadaan panik, ibu terus menyelamatkan ayah dengan membawanya keluar menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui hari ini.

Siti Nor Azizan memberitahu, ketika sedang mengalihkan kereta di garaj, dia terdengar suara Muhammad Fazli yang lumpuh separuh badan meminta pertolongan.

Katanya, dia terus mengumpul besi tingkap bilik menggunakan sebatang kayu dan terus menarik adiknya keluar.

“Saya bersyukur dapat menyelamatkan dia daripada rentung walaupun mengalami sedikit kelecuran. Suami, Muhamad Talmizi Razali, 41, turut melecur pada bahagian belakang dan kaki ketika cuba masuk ke dalam rumah menyelamatkan adik.

“Syukur nyawa kami semua selamat, tetapi empat motosikal iaitu dua Yamaha 135LC, Honda EX5 dan Honda C70 hangus dijilat api dalam kejadian itu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Mohd. Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.15 petang sebelum 13 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan kemusnahan 70 peratus. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Umpil besi tingkap, selamatkan adik lumpuh daripada rentung appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved