liza26/11/2026 - 14:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov – Sime Darby Berhad mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 17.2% kepada RM416 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY2027) disokong prestasi lebih baik bahagian UMW yang membantu mengimbangi kelemahan operasi bahagian Motors di China susulan persaingan sengit dan pemberian diskaun besar dalam pasaran automotif negara itu.
Ia adalah peningkatan 17.2% berbanding RM355 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya yang dipacu prestasi lebih baik bahagian UMW dengan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM432 juta, meningkat 65.5% daripada RM261 juta setahun sebelumnya.
UMW turut mendapat manfaat daripada keuntungan RM148 juta hasil aktiviti pembangunan hartanah perindustrian di Serendah Industrial Park.
Secara keseluruhan, keuntungan selepas cukai kumpulan meningkat 9.1% kepada RM490 juta berbanding RM449 juta pada 1QFY2026. Sementara itu, hasil kumpulan susut 7.4% kepada RM16.70 bilion daripada RM18.03 bilion.
UMW jadi penyumbang keuntungan terbesar
Berdasarkan pecahan segmen, UMW mencatat PBIT tertinggi antara bahagian perniagaan kumpulan, diikuti Industrial sebanyak RM219 juta dan Motors RM117 juta.
Bagaimanapun, prestasi bahagian Industrial merosot 25.3% berbanding RM293 juta pada suku sama tahun sebelumnya, terutama disebabkan sumbangan lebih rendah daripada operasi sokongan produk di Australasia.
Penurunan itu sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih tinggi daripada penghantaran sistem kuasa di China, susulan peningkatan permintaan daripada sektor pusat data.
Persaingan China jejaskan bahagian Motors
Sementara itu, bahagian Motors mencatat PBIT RM117 juta, turun 7.1% daripada RM126 juta pada 1QFY2026.
Sime Darby berkata, prestasi itu terjejas akibat kerugian lebih tinggi dalam operasi di tanah besar China susulan persaingan sengit dan pemberian diskaun harga yang besar.
Bagaimanapun, kesan tersebut sebahagiannya diimbangi keuntungan lebih tinggi daripada jualan kenderaan elektrik di Singapura dan Malaysia, selain keuntungan bersih RM17 juta daripada penamatan pajakan serta pembalikan rosot nilai dan peruntukan.
Unjuran prestasi FY2027 kekal setara
Melangkah ke hadapan, kumpulan menjangkakan prestasi kewangan teras bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY2027) kekal setara dengan FY2026.
Sime Darby berkata, prospek ekonomi global masih tidak menentu berikutan ketegangan perdagangan berterusan dan risiko geopolitik, manakala keadaan perniagaan bagi segmen Industrial dan Motors dijangka terus mencabar.
Segmen Motors turut berdepan permintaan pengguna yang perlahan serta persaingan pasaran yang semakin sengit.
Bagaimanapun, kumpulan menjangkakan permintaan jangka sederhana hingga panjang bagi produk dan perkhidmatan selepas jualan daripada industri perlombongan di Australia kekal baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pelanggan dalam perniagaan Industrial masih menangguhkan perbelanjaan, namun kumpulan melihat keadaan itu sebagai cabaran jangka pendek.
Beliau berkata, perniagaan sistem kuasa mempunyai peluang pertumbuhan yang baik, didorong peningkatan permintaan daripada sektor pusat data.
Dalam segmen Motors pula, kumpulan melihat peluang pertumbuhan dalam pasaran kenderaan elektrik, khususnya di Asia Tenggara. Pemasangan tempatan kenderaan BYD menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama strategik Sime Darby dengan pengeluar kenderaan elektrik dari China itu. - DagangNews.com





