SEREMBAN - Dokumen proklamasi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos lalu di Port Dickson didakwa tidak sah dan tidak boleh berkuat kuasa.
Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah yang diiktiraf Tuanku Muhriz dalam satu kenyataan berkata, sidang Dewan Keadilan dan Undang pada 31 Julai lalu telah memuktamadkan bahawa pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz pada 19 April lalu tidak memberi kesan kepada undang-undang.
Menurutnya, ia juga tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959.
"Sayugia diingatkan, tiga daripada Undang Empat yang cuba menurunkan DYMM Tuanku Muhriz langsung tiada kuasa sebagai pembesar memerintah bagi negeri lantaran telah lucut pesaka mengikut adat luak masing-masing.
“Ditegaskan, apa-apa jua hal berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika ini hendaklah ada sabda Kita selaku Imam Undang Yang Empat,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan krisis istana di Negeri Sembilan dijangka lebih meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang dikatakan telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Dokumen tersebut dikongsi kepada pemberita dalam sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar di sini pada malam Selasa.
Sidang media yang bermula sekitar jam 10.45 malam itu dihadiri oleh Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yassin dan Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah.
Sementara itu, Undang Luak Rembau, Dato' Sedia Raja Hassan Ab Hamid yang diiktiraf Tuanku Muhriz dalam kenyataannya pada Rabu turut menegaskan bahawa dokumen yang didedahkan dalam sidang media terbabit adalah cacat pada asasnya.
"Kami menegaskan bahawa dokumen tersebut cacat pada asasnya, tidak berkuat kuasa dan tidak boleh dijadikan sandaran, kerana persoalan mengenai proses, kapasiti dan pematuhan kepada UUTKNS masih tidak dipenuhi.
"Pertama, setakat pengetahuan dan rekod pentadbiran kami, baginda tidak pernah melalui proses penyiasatan, dikemukakan pertuduhan secara formal atau diberikan ruang sewajarnya untuk menjawab dan mempertahankan kedudukan baginda,"katanya.
Menurutnya, Luak Rembau di bawah pentadbirannya kekal menjunjung, mengiktiraf dan berdiri teguh di belakang Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ujarnya, kedudukan baginda di atas takhta Negeri Sembilan adalah sah, sempurna dan tidak tergugat oleh mana-mana dokumen, sidang media atau dakwaan sebelah pihak.
"Tidak ada sebarang keraguan. Tidak ada sebarang ruang tafsiran. Itulah pendirian Luak Rembau,"katanya.
Selain itu beliau berkata, Luak Rembau menolak sekeras-kerasnya sebarang representasi oleh Abdul Rahim Yasin atas kapasiti Undang Luak Rembau.
"Pentadbiran kami mengambil maklum perintah mahkamah berhubung status quo perjalanan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), serta keputusan DKU berhubung pengguguran Undang terdahulu dan pengesahan penyandang Undang yang baharu.
"Abdul Rahim tidak mempunyai mandat, tidak mempunyai kapasiti dan tidak mewakili Luak Rembau. Maka, apa-apa tindakan atau persetujuan beliau atas nama Undang Luak Rembau tidak sah dan tidak mengikat Luak Rembau,"katanya.
Justeru beliau menyeru anak-anak Luak Rembau dan rakyat Negeri Sembilan supaya terus menghormati undang-undang, adat dan Institusi Diraja Negeri Sembilan.






