
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memilih untuk berdiam diri berhubung tandatangan beliau yang didakwa tertera pada surat cara proklamasi berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Ismail yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri malam tadi enggan mengulas lanjut meskipun ditanya mengenai dokumen berkenaan yang kini menjadi perhatian.
“Tiada apa yang mahu dikomen,” katanya ringkas.
Mesyuarat Exco berkenaan bermula kira-kira pukul 8 malam dan hanya berakhir pada pukul 1.58 pagi tadi.
Ketika sekali lagi diajukan soalan mengenai isu sama sejurus mesyuarat selesai, Ismail tidak memberikan sebarang jawapan, sebaliknya hanya mengangkat kedua-dua tangannya sebelum beredar.
Difahamkan, mesyuarat Exco diadakan pada waktu malam susulan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri daripada UMNO dijadual menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur yang bermula hari ini.
Terdahulu, Datuk Maarof Mat Rashad dalam satu sidang media bersama Abdul Rahim Yasin dan Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah menunjukkan satu dokumen yang didakwa mengandungi tandatangan Ismail.
Tandatangan berkenaan didakwa tertera pada surat cara proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dokumen itu antara lain dikatakan menyentuh keputusan Undang Yang Empat berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April lalu.
Bagaimanapun, setakat ini Ismail belum memberikan penjelasan lanjut mengenai tandatangan berkenaan atau kandungan dokumen yang diperkatakan itu.
The post Ismail Lasim kunci mulut isu tandatangan dokumen proklamasi appeared first on MYBERITA.





