Undang Yang Empat termasuk yang dipertikai tarik balik semakan kehakiman isu singkir Tuanku Muhriz

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 12:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Undang Yang Empat termasuk yang dipertikai tarik balik semakan kehakiman isu singkir Tuanku Muhriz
Mahkamah merekodkan perkara berkenaan ketika pengurusan kes dijalankan secara dalam kamar di hadapan Hakim, Norliza Othman.

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Empat Undang Luak yang dipertikai menarik balik semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, yang memaksa Menteri Besar Negeri menandatangani proklamasi berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Alasan penarikan balik semakan kehakiman disebabkan permohonan tersebut telah menjadi akademik berikutan pengakuan Menteri Besar telah menandatangani Proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu.

Mahkamah merekodkan perkara berkenaan ketika pengurusan kes, dijalan secara dalam kamar di hadapan Hakim, Norliza Othman.

Mereka ialah Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin.

Semua pembesar negeri itu selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman pada Julai lalu dengan menamakan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri sebagai responden.

Empat pihak itu telah memohon perintah mandamus memaksa Menteri Besar menandatangani proklamasi mengiktiraf penyingkiran Tuanku Muhriz dan satu lagi proklamasi mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-12.

Sementara itu, peguam pemohon, Mohd Khairul Azam Aziz memaklumkan kepada mahkamah bahawa, empat pemohon terbabit berhasrat menarik balik permohonan itu tanpa sebarang perintah mengenai kos.

Beliau berkata, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Nurhafizza Azizan yang hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara juga tidak membantah penarikan permohonan dan isu kos itu.

Bagaimanapun, peguam, Steven Thiru yang mewakili Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin tidak membantah penarikan balik itu, namun memohon kos RM10,000 daripada setiap pemohon.

Permohonan kos itu disokong peguam, Robert Low yang mewakili Undang Luak Rembau ketika ini, Hassan Ab Hamid dan peguam, Jasmin Arisah yang mewakili Undang Luak Sungai Ujong yang menggantikan Mubarak Thahak, Muhammad Faris Johari.

Selepas mendengar permohonan semua pihak, Norliza memerintahkan semua pemohon membayar RM30,000 kos kepada pihak yang memohon untuk mencelah.

Pihak yang memohon untuk mencelah ialah DKU, setiausahanya, Undang Luak Sungai Ujong dan Rembau memohon kos atas alasan penarikan balik permohonan semakan kehakiman itu menyebabkan prosiding berkenaan tidak lagi diperlukan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Steven berkata, permohonan semakan kehakiman yang difailkan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Ini kerana empat pemohon itu gagal mendedahkan kewujudan prosiding yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban,” katanya.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan pada 17 Julai dengan menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri sebagai responden.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved