
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai Ketua Projek Program Translasional 2023 bagi bidang fokus Kelestarian Wilayah oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM6.25 juta.
Menurut Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Haji Mansor, sebagai Ketua Projek, UMS memainkan peranan penting dalam menyokong dan memimpin pasukan penyelidik dalam bidang Kelestarian Wilayah bagi menghasilkan penyelesaian inovatif untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan industri dalam bidang ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“Pengiktirafan ini dapat memperkasa reputasi UMS dan menjalinkan kerjasama dengan para penyelidik daripada universiti-universiti awam yang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2023 yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Tambah Kasim, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan penyelidikan berbentuk translasional.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah atas sokongan berterusan dan bantuan kewangan dalam membantu UMS ke arah melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi.
“Kerajaan Sabah juga telah meluluskan dana sebanyak RM10 juta untuk pewujudan Kursi Penyelidikan Bajau Sama Sabah, manakala Kursi Penyelidikan Keharmonian Antara Agama dan Kursi Penyelidikan Mualaf kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), sebanyak RM 2.5 juta setiap satu.
“Selain itu, kolaborasi penyelidikan dengan pihak industri juga dapat diperkukuhkan selain penglibatan kolaborasi daripada universiti tempatan mahupun luar negara.
“UMS juga telah mendapat respon positif dari pada pihak industri dengan mendapat saluran dana sebanyak RM 10 juta melalui kerjasama mewujudkan International Industry Research Innovation (IIRC) Steve Lee dan tambahan satu lagi Kursi Akademik baharu iaitu Kursi Biodiversiti sebanyak RM5 juta,” jelasnya.
Kasim berkata, ia satu sumbangan yang amat berharga kepada perkembangan dan pembangunan universiti terutamanya dalam memenuhi sasaran penarafan enam bintang MyRA.
Pada majlis tersebut, Kasim turut memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS bakal diiktiraf sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan tinggi (HiCoE) dengan dana sebanyak RM6.25 juta.
APUMS 2023 meraikan penerima anugerah sitasi tertinggi dalam penerbitan jurnal berindeks scopus, anugerah penyelidik cemerlang serta penghargaan skor MyRA tertinggi bagi empat, lima dan enam bintang.
Pada majlis itu juga, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir Dr Rosalam Sarbatly menerima Anugerah Khas Tun Canselor UMS, manakala Dr Salbiah Kindoyop dari Akademi Seni dan Teknologi Kreatif UMS menerima dana penyelidikan RM35,000 untuk projek penghasilan corak batik beridentiti Borneo Sabah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


