
BOLOGNA – Pengendali Itali, Roberto Mancini memuji pasukannya yang menunjukkan ketahanan mental untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Turkiye dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah (UNL), awal pagi semalam.
Mancini mengakui anak-anak buahnya bergelut dengan kepenatan selepas mengharungi empat perlawanan dalam tempoh dua minggu.
Namun, bekas pengendali Manchester City itu menganggap keupayaan barisan pemain memanfaatkan peluang selain fokus sepanjang 90 minit menjadi kunci kemenangan.
“Walaupun kami melakukan banyak perubahan, keletihan tetap dirasai oleh pemain dan jelas kami sedikit bergelut di atas padang.
“Apa yang pasti, saya gembira apabila kami berjaya menjaringkan tiga gol dan kekal fokus walaupun ada ketika mereka cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mancini mengakui perjuangan masih panjang dengan Itali dijangka berdepan persaingan sengit untuk mengekalkan kedudukan selepas meraih tujuh mata daripada empat perlawanan Kumpulan A.
Sementara itu, pemain tengah, Daniel Maldini mengakui skuad The Azzurri mengambil masa untuk mendapatkan rentak selepas melalui permulaan sukar dalam kempen UNL kali ini.
“Pujian wajar diberikan kepada pemain selepas bangkit daripada kekalahan kepada Perancis minggu lalu dan kita perlu lebih kekal tenang selepas ini,” katanya. – AGENSI
The post UNL: Itali mula tunjuk petanda positif appeared first on Kosmo Online.






