
ROM – Pengendali baharu Itali, Roberto Mancini menganggap ejekan peminat adalah perkara biasa dalam bola sepak selepas skuad kendaliannya itu tewas pada aksi pertama saingan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) apabila tunduk 0-2 berdepan Belgium.
Pada aksi di Stadium Olimpico awal pagi semalam, Mancini kembali dilantik mengemudi The Azzurri buat kali kedua selepas tiga tahun meninggalkan jawatan setelah membantu pasukan itu memenangi Euro 2021.
Selepas gagal layak ke Piala Dunia Jun lalu, Itali kembali melantik Mancini untuk mengembalikan semula kegemilangan, namun debutnya terencat kali ini ekoran kekalahan tersebut sehingga diejek peminat.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Mancini ditanya sama ada tugas untuk memenangi semula sokongan penyokong Itali ibarat mendaki Gunung Everest.
“Pada akhirnya, ia akan menjadi lebih baik apabila anda sampai ke puncak. Ini perkara yang normal. Anda kalah dan penyokong berasa kecewa serta marah. Itu sebahagian daripada permainan,” katanya.
Belgium meraih jaringan menerusi Mika Godts dan Dodi Lukebakio pada setiap separuh masa memberikan Red Devils kemenangan, sekali gus menyaksikan permulaan yang bergaya kepada era Mark van Bommel sebagai pengurus.
Namun, Mancini melihat beberapa perkara yang boleh dijadikan asas untuk diperbaiki menjelang dua perlawanan menentang Turki dan kunjungan ke Perancis dalam tempoh rehat antarabangsa.
“Kami boleh mengambil 25 minit pada separuh masa kedua sebagai titik permulaan, ketika kami bermain dengan sangat agresif, memenangi semua bola kedua dan langsung tidak membenarkan lawan mencipta peluang.
“Itu perkara yang positif bagi saya. Kami perlu cuba pastikan tidak kehilangan bola, seperti yang berlaku pada separuh masa pertama, menguasai bola dengan lebih baik, bermain dengan tenang dan tidak memaksa keadaan apabila tiada ruang,” jelasnya. – AGENSI
The post UNL: Mancini bermula ‘langkah sumbang’ appeared first on Kosmo Online.




