Untung AirAsia X susut 37.34% kepada RM50.21 juta bagi suku pertama 2025

29/05/2025 - 10:07
Gambar/AirAsia Newsroom Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 29 Mei - Syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia X Bhd (AAX), melaporkan penurunan untung bersih sebanyak 37.34 peratus kepada RM50.21 juta bagi suku pertama tahun 2025 berbanding RM80.12 juta pada tahun lalu.
Menurut AAX, penurunan itu disumbangkan oleh peningkatan kos operasi, terutamanya kos penyelenggaraan dan baik pulih yang meningkat kepada RM202.79 juta berbanding RM124.99 juta tahun lalu.
"Keuntungan sesaham juga menurun kepada 11.20 sen berbanding 17.90 sen pada 2024," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Bagaimanapun AAX berkata, pendapatannya naik 3.43% kepada RM940.08 juta berbanding RM908.92 juta tahun lepas.
"Peningkatan ini disumbangkan oleh pertambahan kapasiti tempat duduk sebanyak 12% kepada 1.29 juta tempat duduk.
"Jumlah penumpang turut meningkat 12% kepada 1.08 juta orang, menjadikan faktor muatan penumpang sebanyak 83%," ujarnya.
Tiada dividen diumumkan bagi suku ini.
AAX merancang untuk menambah kapasiti penerbangan ke Almaty, Kazakhstan pada separuh kedua tahun ini.
Langkah itu adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperluas sambungan di rantau Asia Tengah selepas kejayaan laluan sedia ada di Kazakhstan.
Sementara itu, AAX turut mengesahkan akan menamatkan laluan ke Nairobi, Kenya bermula September 2025 kerana gagal mendapatkan bantuan kewangan seperti yang dijangka.
Keputusan berkenaan dibuat bagi membolehkan syarikat menilai semula strategi rangkaiannya dan memberi tumpuan kepada pasaran yang lebih menguntungkan.
AAX menjangka, prestasi suku kedua dan ketiga mungkin perlahan kerana faktor musim, tetapi tempahan awal masih baik, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan tambahan.
Syarikat yakin boleh mengekalkan prestasi menjelang suku keempat, yang biasanya mencatat keuntungan paling tinggi antara Oktober hingga Disember.
Jika keadaan ekonomi dan dasar kerajaan kekal stabil, AAX menyasarkan pendapatan tahunan antara RM3.5 bilion hingga RM4 bilion, didorong oleh permintaan tinggi pada suku pertama dan keempat.
Ia juga dipacu oleh pertambahan aktiviti pelancongan semasa musim panas di Almaty dan tempoh cuti panjang di China pada suku kedua dan ketiga. - DagangNews.com
standard

