Untung bersih 9 bulan CIMB Niaga susut 14.7% disebabkan penyusutan margin pinjaman

Business & Finance
29 Oct 2026 • 8:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih 9 bulan CIMB Niaga susut 14.7% disebabkan penyusutan margin pinjaman Image from: Untung bersih 9 bulan CIMB Niaga susut 14.7% disebabkan penyusutan margin pinjaman hamden29/10/2026 - 08:43 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt – CIMB Niaga, anak syarikat Indonesia milik 91.45% oleh CIMB Group Holdings Bhd, mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 14.7% kepada IDR4.49 trilion (kira-kira RM1.01 bilion) bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), berbanding IDR5.27 trilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Penurunan itu didorong oleh penyusutan margin pinjaman dan peningkatan peruntukan bagi potensi kerugian pinjaman, menurut penyata kewangan tidak diaudit PT Bank CIMB Niaga Tbk.

 

Keuntungan sebelum cukai bank itu turut merosot kepada IDR5.78 trilion daripada IDR6.74 trilion, manakala pendapatan sesaham susut kepada IDR178.65 berbanding IDR209.57 sebelumnya.

 

Pendapatan faedah bersih menyusut 2.2% kepada IDR9.86 trilion daripada IDR10.08 trilion, manakala peruntukan bagi potensi kerugian aset kewangan meningkat kepada IDR2.37 trilion berbanding IDR1.26 trilion setahun sebelumnya.

 

Presiden Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Niaga, Lani Darmawan, berkata bank itu mengekalkan prestasi operasi yang stabil, disokong pertumbuhan perniagaan berterusan dan pengurusan kos yang berdisiplin.

 

"Walaupun keuntungan terjejas akibat penyusutan margin dan peningkatan peruntukan sebagai sebahagian daripada pendekatan berhemat kami terhadap pengurusan risiko kredit, kami terus mengekalkan kunci kira-kira yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata kedudukan modal dan kecairan bank itu kekal kukuh, dengan nisbah kecukupan modal sebanyak 23.7%, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan pada masa hadapan.

 

Menurut Lani, keutamaan bank itu termasuk memperkukuh kualiti aset, meneruskan pertumbuhan pinjaman secara terpilih, mengoptimumkan gabungan sumber pembiayaan dan meningkatkan pendapatan fi berulang, selain mengekalkan disiplin kos.

 

Dari segi prestasi perniagaan, jumlah pinjaman CIMB Niaga meningkat 6.7% tahun ke tahun kepada IDR242.6 trilion, diterajui segmen perbankan korporat yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 15.1%.

 

Sementara itu, jumlah deposit berjumlah IDR273.7 trilion, dengan baki akaun semasa dan simpanan (CASA) meningkat 4.4% kepada IDR197 trilion.

 

Peningkatan itu membawa nisbah CASA bank berkenaan kepada 72%.

 

Perkembangan tersebut menyusuli penafian CIMB Group pada minggu lalu terhadap laporan bahawa kumpulan itu merancang untuk menjadikan CIMB Niaga sebagai syarikat persendirian.

 

CIMB Group menjelaskan bahawa tiada keputusan dibuat berhubung perkara itu dan tiada cadangan rasmi sedang dipertimbangkan.

 

Bagaimanapun, CIMB perlu mengurangkan pegangan sahamnya dalam CIMB Niaga kepada 87.5% menjelang Mac 2027 dan 85% menjelang Mac 2028 bagi mematuhi keperluan pegangan saham awam minimum yang disemak semula di Indonesia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved