amree05/08/2026 - 15:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Lambakan ruang pejabat di Lembah Klang dengan penawaran terus mengatasi permintaan, dilihat tidak menjejaskan prestasi Tower Real Estate Investment Trust (Tower REIT).
Menurut makluman kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) itu kepada Bursa Malaysia, ia berjaya mencatatkan pertumbuhan hasil bersih signifikan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26).
Perkembangan itu membuktikan daya saingnya apabila nilai portfolio hartanah pelaburan kini mencecah RM807 juta, yang terdiri daripada Menara HLX (41%), Menara Guoco (31%) dan Plaza Zurich (28%).
"Bagi suku keempat, Tower REIT merekodkan peningkatan pendapatan bersih amanah kira-kira 222.1% kepada RM3.34 juta berbanding hanya RM1.04 juta pada tempoh yang sama pada tahun lalu," jelasnya.
Secara kumulatif bagi keseluruhan tahun kewangan 2026, pendapatan bersih amanah syarikat melonjak 65.7% kepada sebanyak RM12.06 juta, berbanding RM7.28 juta pada tahun kewangan yang sebelumnya.
Walaupun pasaran pejabat menghadapi persaingan sengit daripada bangunan baharu, pengurusannya menilai prestasi kukuh itu dipacu oleh kadar penghunian lebih tinggi merentasi seluruh portfolio.

Di samping itu ujar Tower REIT, peningkatan kadar sewaan di Menara HLX dan Menara Guoco, serta pengurangan kos faedah yang dilihat sebagai turut membantu bagi mengukuhkan kedudukan kewangan.
"Pihak pengurus juga melihat terdapat trend penyewa kini lebih cenderung memilih bangunan pejabat bergred premium yang patuh kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.
Selain itu, hartanah tersebut perlu mempunyai ketersambungan yang baik, dan ia menjangkakan kadar penghunian semua bangunannya terus meningkat meskipun bekalan pejabat di pasaran masih tinggi.
Sebagai penghargaan kepada pemegang unit, Tower REIT mengisytiharkan agihan pendapatan peringkat akhir sebanyak 0.6 sen seunit menjadikan jumlah keseluruhan bagi FY26 adalah 1.90 sen seunit.
Tambahnya, setakat 30 Jun 2026, harga unit kumpulan tersebut didagangkan sekitar 30 sen, dengan nilai aset bersih (NAV) sesaham berada pada kadar RM1.1685. - DagangNews.com






